22 Julai 2008

fiqh semasa

PEMBAHARUAN FIQH: KEPERLUANDAN METODOLOGI
Oleh: Muhammad Nabil Bin Dato' Muhamad Shukri
Pendahuluan
Fiqh Islami seharusnya tidak membeku dan statik. Ia sewajarnya sentiasa bertambah kandungannya, berubah pendekatannya dan berkembang ruang lingkupnya. Fiqh Islam, sebagaimana yang dimaklumi, melibatkan pemahaman manusia terhadap Syariat Allah SWT. Oleh yang demikian ianya (kebanyakannya) bukanlah suatu perkara yang tetap (absolute), kerana apa yang dianggap betul oleh faqih pada masa lepas mungkin sudah tidak betul lagi pada masa kini, dan yang dianggap betul pada masa kini, mungkin tidak akan bertepatan lagi dengan prinsip kebenaran dan keasilan pada masa akan datang.
Kalau kita menelusuri senario perkembangan fiqh Islam pada saat-saat mutakhir ini, kita akan dapati berbagai perubahan telah berlaku dan akan terus berlaku mengikt situasi zaman, keperluan dan kesesuaian, seperti perubahan dari segi metodologi, pendekatan dan sebagainya. Namun begitu, kalau kita menjengah ke luar dari jendela fiqh dan meneliti perkembangan dunia sekeliling, kita akan dapati bahawa perkembangan yang berlaku di luar 'dunia fiqh' jauh lebih pesat dari perkembangan yang berlaku di dalam bidang fiqh, menjadikan fiqh seolah-olah jauh tertinggal dari arus kehidupan sebenar. Hal ini, tak dapat tidak akan menimbulkan kesan terhadap pandangan massa terhadap Syariat Islam itu sendiri, walaupun ramai yang maklum fiqh itu bukan Syariah.Sebagai golongan yang dipertanggungjawabkan dalam mengemukakan panduan hukum Islam yang praktikal dan terkini kepada masyarakat, seseorang faqih itu tidak dapat melarikan diri daripada himpitan kepesatan perkembangan berkenaan, malah perlu baginya memberi perhatian yang serius bagi menentukan fiqh sentiasa beroperasi dengan sebaiknya di tengah masyarakat. Oleh yang demikian, para fuqaha' perlu dan wajib memperbaharui fiqh untuk mengembalikan semula umat di bawah bayangan syari'ah. Justeru itulah tulisan ini dikemukakan bagi membincangkan dengan ringkas, apa yang disebut sebagai pembaharuan fiqh Islam, terutama dari segi keperluan dan metodologinya.
Apakah itu "pembaharuan fiqh"? Sebelum membincangkan konsep pembaharuan fiqh Islam dengan lebih lanjut, perlu dijelaskan bahawa fiqh Islam haruslah sentiasa dikaji untuk terus dapat berfungsi selaras dengan berbagai perubahan yang berlaku dalam masyarakat, sesuai dengan kenyataan bahawa Syariah itu sesuai untuk diterimapakai untuk setiap zaman dan persekitaran.
Dalam memperkatakan pembaharuan fiqh dewasa ini, kita juga mahu tidak mahu terpaksa mengakui bahawa sesungguhnya pengaruh daripada perubahan yang berlaku di Baratlah yang mempengaruhi fuqaha' kita ke arah melancarkan usaha supaya fiqh ini diperbaharui, walaupun usaha-usaha pembaharuan sentiasa berjalan dari aal sejarah fiqh Islam lagi, seperti pembaharuan yang diperkenalkan oleh Syafi'ie dalam metodologi hukum dan sebagainya, sehinggakan pada zaman kejatuhan kerajaan Islam Abasiah di tangan Tartar pun muncul lagi mereka yang cuba meneruskan pembaharuan seperti yang dilakukan oleh Ibnu Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim dan yang lain-lainnya.
Pembaharuan Konsep
Dalam dekad-dekad mutakhir ini, senario perkembangan fiqh di dunia Islam melibatkan gelombang perubahan yang menarik apabila ramai fuqaha' telah mengambil semacam resolusi untuk menyatakan perlunya mengkaji semula perbendaharaan fiqh yang ada dan melancarkan pembaharuan atau reformasi fiqh.
Konsep' pembaharuan fiqh' atau "reformasi fiqh" secara menyeluruh, menurut pandangan penulis, tidak dapat dikemukakan dalam tulisan ini dengan terperinci, kerana ianya wujud dalam jangkamasa yang panjang melalui proses evolusi, terutama dari segi perkembangan idea dan kaedah, dari zaman awal Islam sehinggalah ke hari ini. Namun, hal ini tidak pula menjadi halangan bagi membincangkan konsep ini secara keseluruhan dan inilah pendekatan yang diambil oleh penulis dalam membicarakan konsep ini.Perkataan kunci ialah pembaharuan dan fiqh. Kamus Dewan mengertikan "pembaharuan" sebagai "perihal (perbuatan dll.) membaharui". Sesetengah sarjana mengertikan pembaharuan itu sebagai "reformasi" atau "modes of reform". Yang lain pula menyatakan ianya sinonim dengan istilah "tajdid" atau "islah" yang dikatakan mempunyai "strong sense of moral highness". Walaupun muncul pelbagai istilah berkenaan dengan pembaharuan, namun penulis berpendapat ianya membawa pengertian yang sama, yang melambangkan tradisi yang berterusan bagi revitalisasi dan amalan Islam. Ringkasanya, menurut kesimpulan daripada Muhammad Sa'id Bustomi, dalam tesis sarjananya berkaitan dengan "tajdid diniy" sesiapa sahaja yang meneliti istilah atau pengertian tajdid (pembaharuan) dari segi literalnya, ia akan dapati bahawa kalimah "pembaharuan" tak dapat tidak mesti terkandung di dalamnya 3 aspek utama iaitu:
a) "Sesuatu" yang terlibat dengan proses pembaharuan pasti wujud pada awalnya dan beroperasi di tengah-tengah daerah operasinya.b) Kemudian "sesuatu" itu, dilanda pemudaran dan kehilangan fungsinya (disebabkan oleh anasir-anasir tertentu)c) Dan apabila ianya terlibat dengan proses pembaharuan, keadaan "sesuatu" itu dikembalikan semula kepada kedudukan asalnya dan dapat beroperasi kembali.
Huraian tentang konsep pembaharuan ini akan dikemukakan selepas perbincangan mengenai istilah fiqh dikemukakan.
Bagi meringkaskan perbincangan istilah "fiqh" dalam tulisan ini merujuk kepada "konsep fiqh" yang banyak dibincang oleh para sarjana hukum, iaitu kefahaman tentang mesej yang terkandung dalam kitab Allah, dalam al-Quran dan al-Sunnah berasaskan kaedah-kaedah yang telah ditetapkan dalam Usul-Fiqh. Justeru itu kalau diteliti, fiqh sebenarnya membabitkan dua unsur utama iaitu wahyu (kitab Allah) dan pemikiran manusia buat memahami Kitab berkenaan. Memang "unsr dari langit" itu tidak lapuk dek zaman dan tidak ketinggalan dek perubahan, tetapi tidak begitu halnya dengan "unsur kemanusiaan" yang terdedah kepada pemudaran dan sebagainya seperti perkara-perkara lain yang melibatkan unsur "manusia" yang selamanya tidak sempurna.
Perlu dijelaskan, walaupun "kitab Allah" itu tidak berubah dan tidak perlu kepada sebarang betuk pembaharuan, namun ia tidak mungkin beroperasi kecuali aspek pemikiran dan pemahamannya digerakkan, dan kalau didapati pemikiran dan pemahaman itu sudah pudar dan kurang berfungsi maka sudah sewajarnya ia diperbaharui kerana tanpa usaha berkenaan, Kitab berkenaan tidak dapat berfungsi dalam kehidupan manusia dan seolah-olah tertunda operasinya.
Konsep Pembaharuan Fiqh: Huraian
Dalam konteks pembaharuan yang sedang dibicarakan ini, iaitu pembaharuan fiqh, ia sebenarnya merujuk kepada usaha-usaha menggaris, mengemuka dan mengemaskinikan pandangan-pandangan fiqh yang berupa penyelesaian-penyelesaian masalah masa kini yang dihadapi oleh masyarakat secara Islami, berteraskan hukum-hukum Islami, berteraskan hokum-hukum Islam (berpendekatan semasa dan realistic) serta meluaskan daerah operasi hukum supaya dapat menjadi agen pengawal kepada segenap aspek kehidupan manusia. Jadi boleh difahami dari kenyataan ini bahawa pembaharuan fiqh atau tajdid al-fiqh berkait rapat dengan konsep ijtihad.
Dalam sejarah umat Islam, memang senantiasa berlaku usaha-usaha pembaharuan fiqh ini dari abad ke abad. Proses pembaharuan yang tidak putus-putus ini adalah merupakan satu keperluan kerana ia telah dimaklumkan sendiri oleh Nabi s.a.w. bahawa pada setiap permulaan seratus tahun Allah akan mengutus seorang mujadid yang akan mengembalikan umat ini kepada kemurnian agamanya.
Inilah mungkin yang mahu dijelaskan oleh Imam al-Manawi, dalam mengulas hadith yang tersebut. Katanya:
"Allah SWT tatkala mengutuskan Mustafa (Nabi Muhammad) sebagai pengakhir bagi silsilah kerasulan dan mengurniakannya wahyu (yang terhad teksnya), padahal Allah SWT Maha Mengetahui bahawa perubahan-perubahan psti berlaku dalam kehidupan manusia, walaupun begitu Allah wajibkan juga umat Muhammad terus menerus perperang dengan hokum-hakamnya sampailah hari Qiyamah, hal ini menunjukkan bahawa Allah SWT (memang merancang) tentang akan meunculnya kelompok penerus tugas kenabian pada setiap zaman (yamg membaharukan hokum apabila sudah pudar) supaya syariahnya dan hukum-hakamnya terus televan sampai akhirnya.
Reformasi atau pembaharuan ini pada amnya didorong oleh keinginan serta keperluan untuk "menyesuaikan" fiqh yang ada sama ada dalam makna modifikasi kosmetik atau modifikasi substantif - dengan perubahan sosio ekonomi, kemajuan sains teknologi dan perkembangan maklumat. Sesungguhnya fuqaha negara ini juga tidak ketinggalan dalam gelombang perubahan ini. Tujuannya ialah supaya tindakan dapat diambil untuk membetulkan, memperbaiki dan menggerakkan kembali fiqh supaya dapat kembali memenuhi matlamat-matlamat yang ditetapkan oleh syara' atau lebih dikenali sebagai Magasid al-Syari'ah.
Pembaharun bukanlah semata-mata perubahan justeru kerana ingin berubah dari sesuatu yang lama kepada yang baru, tetapi merupakan sesuatu yang disengajakan, terancang dan terarah. Dr. Abbs Husni Muhammad dalam memberikan definisi pembaharuan fiqh menyatakan bahawa maksud sebenar yang tersirat di sebalik istilah ini adalah menggerakkan fiqh Islam secara dinamis supaya berjalan seiring dengan perubahan keadaan manusia yang disebabkan oleh perubahan masa dan tempat, tetapi yang masih lagi dalam ruang lingkup pembaharuan yang dimaksudkan oleh hadith Nabi s.a.w.
Beliau menjelaskan tentang betapa perlu difahami, bahawa perubahan yang dimaksudkan bukan bererti memodifikasi dan mengkoordinasi fiqh supaya berjalan siring dengan pelbagai sistem yang ada tanpa melihat bagaimana ia beroperasi, bahkan tuntutan sebenar adalah menggerakkan fiqh supaya seiring dengan perubahan berdasarkan prinsip-prinsip dan lunas-lunas yang telah digariskan oleh Syara'.
Dalam konteks reformasi fiqh di negara ini, pada hemat penulis, ia merujuk kepada usaha para fuqaha' negara ini untuk mengadakan perubahan-perubahan yang perlu dan mustahak dalam seluruh bidang fiqh dengan tujuan memperbaiki, memperkukuh dan mempertingkatkan mutu fiqh negara ini.
Perlu juga dinyatakan bahawa, konsep pembaharuan fiqh seringkali disalah anggap sebagai usaha-usaha untuk memperbaharui agama supaya seiring dengan tuntutan zaman dan persekitaran atau dalam istilah lain disebut apologetik kepada suasana dan lingkungan, lantas larut di dalamnya dan menghalalkannya di atas nama agama. Ini tidak tepat, kerana yang hendak diperbaharui bukanlah Syariah atau agama, tetapi yang mahu diperbaharui ialah sikap, pendekatan, pemahaman terhadap Syari'ah yang mutlak kebenarannya itu.
Memang, kalau diteliti sejarah gerakan pembaharuan di negara ini, malah di negara-negara umat Islam yang lain yang bermula pada awal abad kedua puluh ini, memang usaha-usaha pembaharuan tenyata tidak lepas daripada unsure-unsur apologetik dan kekaguman kepada daripada unsur-unsur apologetik dan kekaguman kepada pembaharuan yang terdapat di Barat. Lihat saja gagasan sosialisme Islam "Ishtirakiyyat al-Islam" yang pernah dianjurkan oleh Sheikh Mustafa Siba'iy dan lainnya di Mesir, nasionalisme ala Islam anjuran Agus Salim di Indonesia atau Burhanuddin al-Helmi di Malaysia. Malah reformis-reformis agung juga dikatakan apologetik dalam pendekatan mereka, termasuk Iqbal dan al-Banna. Kalaupun dirasakan pendekatan dan metod mereka itu bersalahn, namun rasa hormat dan kagum wajar diberikan kerana mereka tetap dalam gelaggang megusahakan sesuatu yang dirasakan sesuai pada zamannya.
Ternyata bahawa usaha-usaha pembaharuan yang telah, sedang dan akan berlaku di negara ini merupakan kesinambungan sejarah yang tidak pernah putus. Setiap generasi telah berbuat dan bertindak sesuai dengan keperluan zaman dan lingkungannya masing-masing, dan mereka telah mewariskan perjuangan bersama khazanah fiqh beserta metodologinya yang tidak ternilai kepada generasi selanjutnya pula.
Kenapa Fiqh Perlu Kepada Pembaharuan?
Rasionalnya, kepada pembaharuan perlu berlaku pada atau dalam fiqh adalah disebabkan berlakunya pemudaran fiqh yang begitu lama dalam dunia Islam. Fiqh semacam sudah ditanggapi pelajaran sejarah perundangan yang bukan lagi mampu menangani situasi semasa. Fiqh sudah begitu lama dibiarkan hampir beku dan statik, dan ini telah menyebabakan banyak aktiviti masyarakat tidak menepati kehendak Syara' yang sebenarnya.
Akibat pemudaran fungsi dan ketidak mampuan fiqh menangani persoalan semasa dan terkini, maka umat Islam seringkali mengambil jalan mudah, mengambil model-model penyelesaian dari luar terutama dari Barat yang biasanya tidak sesuai dengan budaya dan norma-norma Islam. Kelesuan fiqh ini juga telah menyebabkan persoalan-persoalan baru mengakibatkan pencemaran kepada Syariah itu sendiri, kerana bukan fiqh yang disalahkan, tetapi Syariah.
Para sarjana hukum, terutamanya perlu memikul tanggungjawab dalam usaha "mencairkan" dan menggerakkan kembali fiqh supaya kembali berfungsi sebagai mekanisme pengawal dan penyelaras aktiviti manusia zaman ini agar supaya bergerak di dalam batasan-batasan Syara'. Pengabaian terhadap usaha mencair dan menggerakkan fiqh (pembaharuan hukum), dan pengabaian terhadap pembaharun fiqh yang menyebabkan tercemarnya Syariah bererti pengabaian terhadap amanah menjaga nama baik Islam dan mandat sebagai penerus perjuangan Salafus Salih.
Oleh kerana itulah, para fuqaha' dan sarjana hukum Islam di negara ini khususnya dan dunia amnya, harus sedar dan peka dengan realiti zaman dan tuntutan setempat serta sedia melakukan pembaharuan-pembaharuan yang berupa perubahan-perubahan yang seperlunya dan penyesuaian-penyesuaian yang sewajarnya. Dengan perhitungan itulah, para fuqaha' dapat mengembalikan dan memantapkan peranan fiqh di dalam masyarakat.
Pembaharuan juga perlu walaupun sering dikumandangkan bahawa fiqh Islam sesuai untuk sepanjang zaman dan lingkungan. Memang Syariah yang muqaddas itu tetap unggul menelusuri masa tetapi tidak begitu kepada fiqh. Fiqh bukan Syari'ah walaupun selalunya diangap sinonim. Ianya tidak muqaddas, tidak datang dalam bentuk pasang-siap (ready-made), bahkan ianya adalah hasil kombinasi wahyu dan usaha pemahaman manusia. Oleh kerana unsur kemanusiaan (kefahaman) terlibat di dalam fiqh, maka dari waktu ke waktu, harus ada usaha menggilap semula unsur pemahaman berkenaan kerana pemahaman suatu generasi tentunya tidak sama dengan generasi yang mendatang juga tidak sama dengan yang telah berlalu.
Terhentinya usaha pengilapan pemahaman inilah yang menyebabkan wujudnya gejala taqlid buta yang meremahkan fungsi akal dan menjadi penyebab utama berlakunya kejumudan ke atas fiqh yang sepatutunya bersifat dinamis dan mampu menghadapi cabaran. Adalah merupakan sesuatu yang kurang selesa dengan perubahan zaman dan masyarakat, andainya hasil pemikian yang diketengahkan pada masa lampau, secara otomatis dianggap terpakai dan sesuai dengan masyarakat zaman ini, pada hal tuan punya pemikiran tersebut telah lama meninggalkan alam fana ini, bukan setahun dua, tetapi telah berabad-abad lamanya.
Justeru itulah, banyak pemahaman dan tafsiran yang telah dikemukakan perlu diperbaharui, sama ada pembaharuan dalam bentuk mengemukakan pandangan yang baru (ijtihad ibda'iy) atau dalam bentuk memilih yang terbaik dari keputusan-keputusan silam sekiranya masih relevan dan meninggalkan yang masyhur atau pernah dominan suatu ketika dahulu (ijtihad intiqa'iy) Syeikh Mustafa Ahmad Zarqa' dalam membicarakan persoalan ini memungut kata-kata Ibnu 'Abidin yang mejelaskan:
"Bahawa terdapat banyak hukum-hukum yang dibina oleh mujtahid berasaskan suasana yang ada pada zamannya. Justeru itu hukum-hakam tersebut akan berbeza dengan berbezanya zaman…kerana itulah anda dapat melihat para fuqaha' mazhab telah menyalahi hukum yang dinaskan oleh Imam-imam mereka dalam banyak persoalan yang dibina, berasaskan fakta pada zamannya. (Mereka juga) mengatakan seandainya Imam-imam mereka masih hidup, mereka juga akan memperbaharui fahaman mereka dan pastinya (hampir-hampir) seperti fatwa yang ada sekarnag".
Merealisasikan Konsep: Strategi Dan Pendekatan
Pelaksanaan pembaharan fiqh di negara ini khususnya dan di dunia Islam umumnya tidak semata-mata memerlukan satu pendekatan yang radikal dan drastic bagi membantu pencapaian realiti, walaupun ianyaperlu bagi merapatkan jurang perbezaan reality semasa dengan fiqh yang sudah terlalu menjarak. Walaupun begitu sebahagian besar proses pembaharuan perlu dibuat secara evolusi (ubah-ansur). Dalam keadaan demikian, pelaksanaannya secara ini tidak banyak menyebabkan berlakunya pergeseran.
Reformasi dalam perundangan Islam mestilah juga suatu pembaharuan yang cukup cermat dan penuh ketakwaan. Inilah yang cuba ditegaskan oleh Syeikh Abul Hassan Ali An-Nadawi apabila beliau menyatakan bahawa bagi memperbaharui ilmu-ilmu Islam, maka aspek keimananlah yang memainkan peranan yang penting. Kerana itulah pembaharuan yang hendak dijalankan sharusnya berbeza dari orientalis. Ia tidak sepatutnya bersifat terlalu akademik di mana kita hanya membincangkannya tanpa disertai perasaan untuk beriltizam.
Dalam konteks pembaharuan ini juga, perlu diingatkan bahawa ianya perlu dijalankan atas dasar kajian ilmiah yang teliti. Dalam membicarakan strategi pembaharuan, penulis telah menjelaskan bahawa pembaharuan yang hendak dijalankan pastinya mestilah bertitik-tolak daripada asas akademik dan ilmiah yang rapi dan teliti. Oleh kerana itu dalam memperbaharui hukum, seseorang faqih harus mengelakkan dirinya daripada menggunakan secara buta-tuli metodologi pembaharuan hukum yang diceduk dari Barat. Seseorang penyelidik yang mahukan pembaharuan yang bermakna kepada hokum Islam tidak boleh membiarkan berlaku kepadanya pemikiran duluan (pre-conceived idea) sebelum menjalankan kerja-kerja penyemakan sesuatu hukum, atau juga penolakan.
Menurut Dr. Mohd. Daud Bakar, hal ini perlu dielakkan kerana kalau kaedah ini diterima-pakai dalam usaha penyemakan semula hukum-hakam silam, sudah pasti contoh-contoh serta hujjah-hujjah yang bersifat pelik dan pengecualian akan hukum itu tidak baik dan kemudiannya hukum itu dipukul rata kepada hukum-hukum lain yang ada kaitan dengan Syariah.
Ini selalu berlaku dalam kajian orientalis di mana mereka sengaja memilih pandangan yang merupakan minoriti dan pengecualian, lalu kemudian mengatakan bahawa ia adalah sifat umum syariah. Dalam kes dan pandangan yang berbentuk 'common', mereka akan menyimpulkan ia adalah sifat pengecualian dalam perundangan Islam ini. Ini semua dilakukan kerana mereka membuat kajian atas dasar 'bias' dan 'pre-con-cieved idea'.
Oleh yang demikian kaedah reformasi hukum Islam tidak wajar dijalankan mengikut metodologi Barat bahkan yang seharusnya diikuti adalah mengikut apa yang telah digariskan oleh digariskan ole disiplin Usul Fiqh.
Persoalan lain yang sering timbul apabila berbicara tentang strategi pembaharuan fiqh ialah memilih pendekatan. Dilema yang ada dalam menggerakkan pembaharuan di dalam fiqh ialah memilih pendekatan; idealisme, realistik atau bagaimana? Ini boleh difahami, kalau kita meneliti pendekatan-pendekatan yang sedia ada di kebanyakan dunia Islam. Satu pihak menggunkan pendekatan pembaharuan yang pada mereka mestilah bersifat ideal. Bagi mereka, walaupun dipersetujui bahawa fiqh itu perlu diperbaharui, tetapi pembaharaun yang dimaksudkan itu ialah mengembalikan semula fiqh sekarang yang dianggap telah tersasar jauh dari landasan fiqh sebenar, kepada karya-karya fiqh yang telah ditulis berabad-abad lamanya keana tafsiran mereka itu dikatakan lebih dekat kepada kehendak Syariah. Jadi, menurut perspektif mereka, yang sepatutnya diubah ialah masyarakat, bukan fiqh.
Pihak lain pula berpendapat bahawa pembaharuan yang hendak dilakukan terhadap fiqh mestilah pembaharuan yang menyeluruh dan bersifat realistik. Dan caranya mestilah dengan mengambil contoh pembaharuan Barat yang berpendekatan "sekular" tetapi tidak semestinya mengorbankan prinsip. Inilah pendekatan yang mungkin mahu diperkenalkan oleh 'Ali Abdul Raziq di Turki, Sheikh Rifail Tahtawi di Mesir, Khairuddin Pasha di Tunisia dan Sayyid Ahmad di India dan lainnya pada awal kurun ini. Kesan dari pendekatan ini antaranya adalah pewarnaan Islam atau pengesahan terhadap institusi-institusi yang diimport dari luar setelah diberi nama Islam seperti Perlimen disamakan dengan syura, pilihanraya disamakan dengan bai'ah dan seumpamanya.
Inilah juga yang mungkin menjadi teras kepada ucapan Datuk Seri Dr. Mahathir di Oxford apabila beliau menyatakan:"What muslims must do is to go back to the holy Quran and the genuine Hadith, study and interpret them in the context of the present word. It is Allah's will that the world has changed. It is not for man to reverse what has been willed by Allah".
Dalam kenyatan lain beliau menegaskan:
"The answer lies in correcting or abandoning the tendentious and incorrect interpretations of Islam by some of the ulama'. These interpreters of Islam, no matter how learned they may be in the teachings of the religion or how large may be their following or how established are their teachings, are not the prophets…If Islam appears rigid and doctrinaire, it is because the learned interpreters make it so. They tend to be hash and intolerant when interpreting during the heyday of the Muslim Empires. And the and their followers brook no opposition to their writs once the were made. And so, long after the muslims have lost their predominant position, long after the worldly environment has changed, the Muslims were exhorted to adhere to interpretation which are no longer adequate or relevant or particular.
Oleh kerana itulah mereka berpendapat perlunya dikembangkan Fiqh Islam cara moden dengan memisahkan diri dari masa silam dan perlunya fiqh Islam ditafsirkan semula supaya sesuai dengan peredaran zaman. Kerana itulah kedengaran suara-suara pembaharuan yang sifatnya sama dengan gerakan pembaharuan undang-undang di Barat seperti golongan 'feminist' yang menyeru ke arah 'reinter-pretation of fiqh" kerana menurut dakwaan mereka para juris silam adalah "male chauvinists", "female discriminators" dan sebagainya.
Inilah dilemma yang ada yang perlu ditangani dalam melaksanakan program pembaharuan fiqh, iaitu sama ada para fuqaha' dipaksa bergerak setempat mengikut rentak golongan tradisionalis yang separuh statik, ataupun bertempiaran memburu pemodenan. Atau boleh juga dalam memilih pendekatan, para fuqaha' yang mahu melaksanakan pembaharuan mengemukakan alternatif baru iaitu menggabungkan kedua-dua reaksi berkenaan dengan memilih yang paling baik dari tradisi dan yang paling baik dalam dunia moden yang mungkin boleh dit'birkan sebagai "realistic fundamentalism".
Inilah mungkin yang diperkatakan oleh Syeikh Abul Hassan 'Ali An-Nadawi apabila beliau menyebut perlunya para fuqaha' mengambil pendekatan "memadukan kesilaman dengan kekinian yang terbaik". Anjuran yang sama turut dikemukakan oleh Syeikh Yusuf al-Qadhawi yang terungkap dalam slogan "pemaduan di antara orientasi salafiyy dan ciri tajdid. Mungkin pendekatan yang dicadangkan ini adalah berinspirasikan pendekatan para juris atau sarjana usul fiqh silam seperti Ibnu al-Humman, Tajuddin al-Subki, Muhibbulah Abdul Syakur, Syathibi dan ramai lagi yang lain yang menggunakan kaedah penggabungan apabila menghadapi dilemma dalam memilih aliran yang paling baik (dalam penyusunan karya); aliran mutakallimin yang berpendekatan idealistic atau Hanafiyyah yang sifatnya lebih realistik?
Metodologi
Memanglah sebagaimana yang diperkatakan berkali-kali bahawa Fiqh Islam memerlukan perubahan dan pembaharuan, dan telah dikatakan bahawa para fuqaha' tidak diperkenankan oleh Syara' menganggap sepi atau mengenepikan pembaharuan, malah Syari'ah menggalakkan para pendokonnya (para fuqaha' semestinya) menyesuaikan fiqh dengan reality fizikal yang terus menerus berubah. Begitu banyak doktrin-doktrin fiqh yang menunjukkan kenyataan berkenaan seperti "tidak diragui dan dipertikaikan lagi bahawa memang fatawa fiqhiyyah (perlu) berubah dengan berubahnya zaman, lingkungan, adat dan kebiasaan' dan seumpamanya seperti yang dibincang di dalam "legal maxim" fiqh. Dan sepintas lalu, telah dibincangkan juga strategi ke arah pembaharuan hokum. Tetapi persoalan yang amat penting yang belum terjawab ialah apakah metodologi yang boleh diterimapakai dalam melaksanakan pembaharuan hokum fiqh?
Untuk menjawab persoalan metodologi, seharusnya terlebih dahulu dijawab persoalan apakah yang menyebabkan fiqh itu perlu diperbaharui? Telah dikatakan bahawa antara sebab utama fiqh atau hokum Islam perlu kepada pembaharuan adalah kerana fiqh yang sepatutnya bersifat dinamis yang sentiasa bergerak seiring dengan peredaran zaman dan perubahan lingkungan, yang sepatutnya bersifat proaktif, malah futuristic serta antisipatif, sudah kehilangan nilai-nilai dan sifat-sifat berkenaan. Hal ini disebabkan oleh terhentinya atau rosaknya "enjin" utama bagi fiqh iaitu ijtihad. Oleh yang demikian adalah wajar ditumpukan persoalan ini kepada usaha pembaikan semula "enjin" fiqh ini, iaitu ijtihad.
Ijtihaf
Ijtihad, spertimana yang dihuraikan oleh para fuqaha', merupakan penelitian penuh dedikasi bagi merumuskan hokum syara' dari sumber-sumbernya, dianggap sebagai enjin utama atau mekanisma terpenting yang kalau dapat dimobilisasikan secara betul dapat menggerakkan fiqh supaya kembali berperanan bagi menjawab persoalan-persoalan yang semakin kompleks ini. Penulis tidak bercadang untuk kembali melibatkan diri dalam kontroversi "pintu ijtihad telah tertutup" kerana pada pendapat penulis sungguhpun kebanyakan sarjana hukum mengetahui dan faham, bahawa pintu ijtihad tidak pernah tertutup, tetapi ramai dari kalangan mereka bimbang untuk memberitahu bahawa pintu itu masih terbuka kerana alasan-alasan tertentu seperti tidak ada mereka yang cukup syarat-syarat untuk berijtihad dan sebagainya.
Namun begitu, dengan membiarkan polemik tentang sama ada boleh atau tidak para sarjana hukum sekarang berijtihad berterusan, masalah yang dihadapi oleh umat Islam tidak akan selesai, malah mungkin menjadi rumit sehingga sukar untuk diselesaikan. Justeru itu, pilihan yang ada ialah sama ada berijtihad dengan cara sebenar seperti yang dianjurkan oleh Usul Fiqh atau "berijtihad" dengan cara adaptasi dan modifikasi perbendaharaan hukum yang ada supaya dapat diber wajah baru dalam menangani sesuatu masalah. Pada pendapat penulis, alternatif yang kedua menjadi pilihan kepada rami fuqaha', tetapi sebenarnya usaha berkenaan walaupun wajar dihargai, namun bukan menjadi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Mahu tidak mahu enjin terpenting fiqh perlu digerakkan.
Ulama'-ulama' besar abad ini seperti Muhammad Abduh, Syah Waliyullah al-Dahlawi, Muhammad Abu Zuhrah, Abdul Wahhan Khallaf, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qardhawi dan lainnya telah dan terus menyeru supaya ijtihad dicergaskan kembli, malah sebahagian dari mereka telah menyumbangsarankan beberapa mereka telah menyumbangsarankan beberapa cadangan ke arah menghidupkan semula ijtihad.
Kesimpulan yang dapat diambil daripada sarana-saranan mereka ialah perlunya dikuasai ilmu Usul Fiqh yang membolehkan seseorang fuqaha' Islam mempu memahami kaedah dan mampu berijtihad kerana ianya telah dianggap oleh sarjana-sarjana moden di Timur dan di Barat sebagai asas utama untuk memperbaharui hukum islam dan dapat memecahakn suasana kebekuan taqlid dewasa ini.
Kenyataan daripada seorang sarjana Barat, Nabil Shehaby, yang dipetik oleh Dr. Mohd Daud Akar, menguatkan lagi pandanga ini, katanya:
"The usefulness of Usul Fiqh lies primarily in its being an indispensable source For understanding the view of a large and important segment of Muslim thinkers who use the subject as a vehicle for their opinion on the various topics. For example, no where else do we find the same kind of concern for identifiying the logical structure of the argumens used in the religious and rational sciences.
Dalam nada yang sama, Dr. Taha Jabir al-Alwani merumuskan tentang "the way to recover" atau jalan penyelesaian terhadap krisis kebekuan intelektual di kalangan fuqaha' adalah melalui penguasaan sepenuhnya terhadap Usul fiqh dari segi falsafah dan segala isinya. Katanya:
"We are in desperate need of sound and vigorous Islamic thought which is built on an understanding of the spirit of Islam, its ultimate purposes, its overall principles, and the hierarchy of its laws derived from its great original sources-the Quran and the Sunnah. We also need to study the legacy and the methodology of our righteous forbears as they studied and acted upon these original sources in the early ollustrious centuries. This will enable us to achieve a clear and complete perception that it contains the ideal solution for all problems.
Menyentuh persoalan Usul Fiqh sebagai teras kepada metodologi pembaharuan ini, Prof. Mahmood Zuhdi telah merumuskan persoalan ini dengan begitu bak sekali, tegasnya:
"Adalah dicadangkan bahawa metod memperluaskan pemakaian konsep-konsep yang telah ada, yang boleh disifatkan sebagai pembaharaun hokum secara kosmetik tidak lagi digunakan. Sebaliknya usaha-usaha kembali kepada sumber asal hokum berteraskan Usul Fiqh dipergiatkan. Malah sikap semata-mata menghadapi realiti yang ada secara pasof juga perlu diubah. Adalah menjadi tanggungjawab para sarjana hokum sekarang menaja fakta baru dalam apa sahaja aspek hidup yang diilhamkan dari nas dan objektif Syariah sendiri bagi diterima sebgai realiti baru. Dengan cara ini kewibawaan hokum Islam dapat dipulihkan kembali sebagai asas peraturan hidup yang menyeluruh dapat dipertingkatkan".
Dengan keterangan-keterangan yang dikemukakan di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa betapa perlunya digerakkan enjin utama bagi fiqh, iaitu ijtihad, dan penekanan perlu dilakukan ke atas ilmu yang terpenting yang menjadi asas pelaksanaan ijtihad iaitu ilmu Usul Fiqh. Mungkin usaha untuk menggerakkan semula enjin berkenaan yang sudah sekian lama tidak digunakan melalui usaha pembaikan dan pemeliharaan sinonim dengan tajuk yang sedang kita bicarakan ini iaitu pembaharuan fiqh.
Namun begitu sebelum diakhiri perbincangan ini, perlu ditegaskan juga bahawa walaupun inilah - ijtihad - merupakan intipati utama ke arah pembaharuan fiqh, namun persoalan ini juga wajar ditangani dengan cermat tanpa gelojoh dan tanpa telalu ghairah. Hal ini perlu ditegaskan bagi mengelak ruang ijtihad ini agar tidak diteroka dengan sewenang-wenang oleh pihak yang tidak berkelayakan. Mungkin kerana itulah kita dapat melihat kecenderungan para sarjana hukum untuk meyatakan bahawa ijtihad yang dibenarkan beroperasi dalam suasana hari ini seharusnya dikemukakan dengan cara kolektif atau ijtihad jama'iyy yang mirip kepada konsep Ijma' (legal consensus).
Penutup
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, Fiqh Islam pada dasarnya menerima pembaharuan atau tajdid. Pembaharuan yang ingin dijalankan dalam fiqh Islam mencakupi pembaharuan dari segi isi kanfungannya (pembaharuan substantif), mekanisme penggeraknya (pembaharuan metodologi kajian), sikap para pendokongnya dan pengamalnya, institusi-institusi sokongan yang ada, bahkan melibatkan pembaharuan kehidupan massa. Pembaharuan fiqh sebenarnya memerlukan usaha yang gigih dan penyelidikan rapi di dalam bidang akademik (ilmiyyah), tidak sahaja bertujuan untuk memenuhi kehendak semasa dan tuntutan realit, tetapi juga perlu terarah untuk menyediakan asas bagi mengawal perkembangan zama dan persekitaran dan seterusnya menuju ke arah idealisme syariah.
Dalam hubungan inilah, kita berani mengatakan bahawa pembaharuan fiqh yang dimaksudkan, bukanlah semata-mata kerana ingin mengikut dan bergerak seiring dengan perkembangan masyarakat, tetapi adalah didorong oleh kesedaran bahawa melalui pembaharuanlah, kita akan menemukan satu jalan keluar yang dianggap terbaik untuk mengeluarkan masyarakat Islam dari kepompong taklid buta yang merupakan factor utama kepada mundurnya umat ini dan merupakan alternatif yang wajar bagi memajukan masyarakat mengikut lunas-lunas syariah.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang bersemangat dan berjiwa pembaharuan, semangat yang difahami dan dihayati oleh para salaf yang dijelmakan dalam bentuk tajdid dari abad ke abad. Sayangnya kita, pada hari ini, khususnya umat Melayu Islam, telah mewarisi kebekuan yang ditinggalkan oleh zaman kemerosotan Fiqh Islam. Dengan semangat tajdid kita berusaha memecah kebekuan ini dan memulihkan daya kreativiti umat khususnya fuqaha' bagi memungkinkan terciptanya pembaharuan-pembaharuan yang segar dan terkawal dalam kerangka syari'ah. Untuk memberikan jawapan dan alternatif Islam kepada masyarakat yang sedang berdepan dengan pelbagai arus budaya. Mahu tidak mahu pembaharuan mesti dilakukan dan tidak selamnya kita bergantung kepada model-model jawapan yang sedia ada dan penyelesaian pasang-siap. baca