PENGURUSAN AL-QURAN DALAM FATWA ULAMA SEMASA
FATWA PARA ULAMA DAHULU DAN SEMASA.
Al-Quran kitab Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, melalui perantaraan malaikat Jibril a.s selama 23 tahun. Al-Quran itu diturunkan kedalam bahasa Arab iaitu bahasa yang dipilih oleh Allah SWT sendiri. Bahasa Arab adalah satu bahasa yang masih dipakai oleh lebih daripada seratus juta umat manusia.
Sememangnya setiap Muslim berkeinginan untuk membaca dan memahami isi kandungan al-Quran dalam bahasa asalnya, iaitu bahasa Arab. Tetapi memandangkan tidak semua orang mempunyai kemampuan dan kesempatan yang sama, maka keinginan tersebut tidak dapat dicapai oleh setiap muslim. Bagi membolehkan umat Islam bukan Arab dapat memahami ajaran-ajaran yang terkandung dalam al-Quran, maka kitab suci al-Quran diterjemahkan kepada bahasa bukan Arab.
Al-Quran Kalam Allah itu yang diturunkan kepada penutup Nabi-nabi dan rasul itu, sebagaimana yang telah dijelaskan ianya diturunkan dalam bahasa Arab, mengikut bahasa Rasul yang terakhir itu. Manakala misi dakwah Rasulullah tidak terbatas kepada hanya kepada orang Arab sahaja, bahkan ianya meliputi semua makhluk Allah dikalangan manusia dan jin, atau dalam arti kata lain risalah Rasulullah itu adalah untuk sekelian alam. Maka atas keperluan itulah para ulama telah berpendapat bahawa diharuskan menterjemahkan al-Quran kepada berbagai bahasa.
Walaupun al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab namun, baginda masih perlu menafsirkan isi kandungannya kepada para sahabat supaya mereka dapat memahaminya dengan tepat.
Terjemahan al-Quran
Sudah menjadi sunatullah bahawa setiap umat, Allah telah mengirim dan mengutuskan Rasul serta menurunkan kepadanya al-Kitab sebagai pedoman untuk umat Rasul tersebut, dimana kitab tersebut diturunkan mengikut bangsa atau umat rasul tersebut. Nabi Muhamad diutuskan kepada seluruh umat manusia dengan membawa agama Islam diturunkan besertanya kitab sebagai pedoman umatnya iaitu al-Quran.
Kerana Nabi Muhamad berbangsa Arab, maka al-Quran diturunkan Allah swt dalam bahasa Arab pula. Ini sesuai dengan pernyataan Allah sendiri di dalam al-Quran
Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah Yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. ia dibawa turun oleh malaikat Jibril Yang amanah.ke Dalam hatimu, supaya Engkau (Wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) Dengan bahasa Arab Yang fasih serta terang nyata. (Al-Syuara' 192-195)
Oleh kerana al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, maka sudah tentu menjadi masalah kepada bangsa bukan Arab untuk memahami kitab tersebut, maka atas alasan itu ulama mengharuskan al-Quran diterjemahkan kepada berbagai bahasa untuk keperluan umat manusia seluruhnya.
Sebelum dibincangkan lebih lanjut persoalan tentang penterjemahan al-Quran, maka adalah wajar terlebih dahulu dijelaskan definisi atau maksud perkataan terjemah. Menurut Ibn Manzur antara lain, telah menjelaskan bahawa terjemahan itu ialah menafsirkan sesuatu kalimah dengan menggunakan bahasa lain (selain dari bahasa asalnya).
Khalid Ibrahim al-Fityaniy pula mendefinisikan terjemah al-Quran itu ialah memindahkan al-Quran dari bahasa Arab kepada bahasa-bahasa lain selain bahasa Arab.
Manakala makna Tafsir menurut istilah:
- Jalaluddin al-Sayuti berkata, tafsir:
كشف معانى القران وبيان المراد اعم من ان يكون بحسب اللفظ المشكل وغيره وبحسب المعنى الظاهر وغيره
Ertinya: menjelaskan makna-makna al-Quran dan menyatakan maksudnya, yang lebih umum daripada menjelaskan makana al-Quran dari lafaz zahir musykil dan lain-lain.
Dalam sejarah menceritakan bahawa setelah berapa lama al-Quran diturunkan ke muka bumi, belum ada orang yang menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa asing, lebih-lebih lagi kerana ia tidak dipersetujui oleh ulama-ulama pada masa itu. Pada masa Muwahhidin memerintah Sepanyol pada tahun 1142-1289 Masehi, lebih keras lagi larangan tersebut, sehingga al-Quran yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Barbar telah habis dibinasakan oleh mereka itu.
Sejarah telah membuktikan bahawa al-Quran itu tidak mudah difahami kerana maknanya sangat luas. Kesulitan dan kesusahan dalam menafsirkan al-Quran itu terletak dalam mukjizat bahasa dan isi kitab suci itu. Menyentuh perkara itu, Muhamad Abduh pernah menyatakan bahawa kerapkali mereka yang ingin menyelami makna al-Quran, menghadapi kesusahan dan kesukaran, sehingga kadang-kadang gagal mencapai erti dan maksud yang sebenarnya.
Terjemahan al-Quran pula terbahagi dua bahagian: pertama, terjemahan secara harfiyah (lafziyah). Kedua, terjemahan secara al-Tafsiriyah (al-Ma'nawiyah).
al-Quran itu telah dihimpun atau ditulis dizaman Rasulullah oleh penulis wahyu dikalangan sahabat seperti Ali, Muawiyah, Ubai bin Kaab, Zaid bin Thabit, para sahabat tersebut menulis a-Quran untuk diri sendiri kerana belum ada arahan dari Nabi, mereka menulis pada kulit-kulit binatang, kulit pokok kurma dan pada tulang-tulang binatang.
- FATWA MUFTI-MUFTI DI MALAYSIA
al-Quran adalah kitab Allah yang mulia, kemuliannya hendaklah dijaga oleh umat Islam, oleh itu tanggungjawab umat dan pemerintah sangat penting untuk memastikan kemulian al-Quran terpelihara, antara tanggungjawab yang mesti dilakukan oleh kerajaan adalah penguatkuasaan undang-undang berkaitan memelihara kesucian al-Quran, antara cara memuliakan al-Quran ialah melalui penulisan iaitu menulis menggunakan kaedah yang telah disepakati oleh ulama iaitu dengan tulisan Uthmani (rasm Uthmani), dalam hal ini Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengenai penulisan ayat-ayat al-Quran dengan huruf Roman dan Latin, antara keputusan majlis fatwa Kebangsaan adalah berikut tulisan ayat al-Quran dengan huruf Roman dan Latin. Ada beberapa pendapat ulama' sepertimana berikut:-
- penulisan al-Quran mestilah ditulis dengan rasm Uthmani.
- Harus menulis dengan tidak mengikut rasm Uthmani, ini pendapat jumhur.
- Harus, malah wajib dengan tidak mengikut rasm Uthmani bagi kegunaan awam, iaitu bagi maksud pembelajaran (kerana ia memudahkan pelajar).
Setelah meneliti pendapat-pendapat tersebut maka jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berpendapat adalah wajib ditulis al-Quran dengan Rasm Uthmani berdasarkan ijmak sahabat kecuali bagi maksud pengajaran untuk menyenangkan para pelajar.
Mengenai pengharaman penulisan ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan huruf Roman atau Latin, jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-24 bersidang pada 5 & 6 Jun 1989 bersamaan 2 Zulkaedah 1409 yang telah mengambil keputusan bahawa; Adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran.
Memandangkan keadaan yang ada dalam masyarakat Islam di Malaysia maka Muzakarah menasihatkan bahawa pelaksanaan fatwa ini hendaklah dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan tidak menyusahkan mana-mana pihak."
Manakala menurut fatwa yang dikeluarkan oleh komuniti lembaga kajian ilmiah dan fatwa kerajaan Saudi, fatwa yang bernombor 2882, dan bertarikh 22 julai 2004, dalam fatwa tersebut dinyatakan bahawa menterjemahkan makna-makna al-Quran ke dalam bahasa selain bahasa Arab dibolehkan, sebagaimana dibolehkan menafsirkan makna-makna al-Quran dalam bahasa Arab. Tafsir itu merupakan penjelasan makna dari al-Quran, dan tidak pula dinamakan sebagai al-Quran. Maka dari itu, seseorang dibolehkan memegang terjemahan makna-makna al-Quran tersebut dan juga memegang tafsirnya yang tertulis dengan bahasa Arab dalam keadaan tidak berwuduk.
Persoalannya adakah dibenarkan al-Quran diterjemahkan ke bahasa asing. al-Zamakhsariy berpendapat bahawa Rasulullah s.a.w diutuskan dengan bahasa kaumnya untuk memudahkan baginda menjelaskan hukum-hukum Allah s.w.t kepada manusia iaitu menyampaikan perintah Allah swt dalam al-Quran kepada umat manusia agar mereka tidak lagi boleh berhujah dengan berkata "kami tidak faham segala perintah Allah swt ". Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah s.w.t:
öqs9ur
çm»oYù=yèy_
$ºR#uäöè%
$|‹ÏJygõƒr&
(#qä9$s)©9
Ÿwöqs9
ôMn=Å_Áèù
ÿ¼çmçG»tƒ#uä
(
Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) Dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatNya (dalam bahasa Yang Kami fahami)? (Fussilat: 44)
Sebenarnya rasul bukanlah diutuskan kepada bangsa Arab sahaja, bahkan kepada semua umat manusia yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Kemudian beliau menjelaskan lagi, al-Quran tidak perlu diturunkan dalam semua bahasa yang ada di dunia kerana terjemahannya adalah memadai sebagai ganti.
HUKUM MENYENTUH AL-QURAN
Membaca al-Quran ketika berhadas kecil, dalam hal ini apabila seseorang itu berhadas, dan dia berkeinginan untuk membaca al-Quran, dia akan berhadapan dengan dua keadaan iaitu membacanya tanpa menyentuh al-Quran, atau membacanya dengan menyentuh al-Quran. Membaca al-Quran ketika berhadas tanpa menyentuh al-Quran, majoriti ulama mengharuskan orang yang berhadas kecil membaca al-Quran tanpa menyentuh mushaf a-Quran. Mereka berhujah dengan beberapa dalil antaranya:
Hadis Ali bin Abi Talib, katanya: "Baginda pernah datang ke tempat qadha hajat, lalu baginda menunaikan hajatnya. Kemudian baginda keluar, lalu makan bersama kami roti dan juga daging dan membaca al-Quran. Tak ada satu pun yang menghalang baginda daripada al-Quran melainkan berjunub".
[Hadis sahih riwayat Tirmizi] rujuk kitab al-Tirmizi>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Hadis ini menjelaskan bahawa baginda membaca al-Quran tanpa berwudu' terlebih dahulu selepas baginda qadha hajat. Al-Quran itu pula tentu dibaca berdasarkan hafazan Nabi dan bukannya dengan memegang mushaf al-Quran. Ini menunjukkan keharusan membaca al-Quran tanpa berwudu'.
Pandangan ulama mengenai hukum menyentuh al-Quran tanpa wuduk berbagai pandangan. Mazhab Abu Hanifah mensyaratkan dihalalkan menyentuh al-Quran atau sebahagiannya tanpa wuduk, dengan bersyarat: pertama; al-Quran itu tidak ditulis dalam bahasa Arab, jikalau ianya ditulis dalam bahasa Arab maka haram menyentuhnya, sekalipun ia ditulis menggunakan khat Kufi, atau khat Maghribi atau selainnya. Kedua; ayat al-Quran yang ditulis diatas mata wang seperti dinar atau dirham atau selainnya yang digunakan dalam bermuamalah, diharuskan menyentuh atau membawa matawang yang mengandungi ayat al-Quran kerana menolak kesukaran. Ketiga; menyentuh al-Quran atau membawanya kerana menjaga al-Quran itu, sama ada sebahagian atau sebuah al-Quran (seperti mengambil al-Quran dijalanan). Keempat; yang menanggung al-Quran itu pelajar atau guru, maka diharuskan keduanya menyentuh al-Quran tanpa wuduk. Tidak berbeza hukumnya sama ada ia mukallaf atau tiada, sekalipun wanita yang sedang haid. Kesemuanya dibolehkan menyentuh al-Quran tanpa wuduk.
beberapa pandangan ulama yang mengaharuskan wanita haid membaca al-Quran;
ibn taimiayah dala fatawanya:
tidak ada
وقال شيخ الإسلام ابن تيمية في الفتاوي مجموعة ابن قاسم ج 26/129:
" ليس في منعها من القرآن سنة اصلا ً ، فإن قوله لا تقرأ الحائض ولا الجنب شيئا من القرآن حديث ضعـــيـــف باتفاق أهل المعرفة بالحديث .
al-Syafi'iyyah berpendapat bahawa harus menyentuh al-Quran, membawanya dengan beberapa syarat: pertama; kerana ingin memelihara al-Quran, kedua; al-Quran yang tertulis pada matawang, ketiga; sebahagian dari ayat al-Quran yang ditulis dalam kitab atau buku-buku ilmiah, tidak ada perbezaan antara ayat yang ditulis itu ianya atau sedikit. Adapun kitab tafsir harus menyentuhnya tanpa wuduk disyaratkan tafsir lebih banyak daripada ayat al-Quran, jikalau ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsir maka tidak harus disentuh kitab tafsir tersebut. Keempat; ayat al-Quran yang ditulis pada kain seperti kain kaabah. Kelima; pakaian,
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa beliau pernah bermalam di rumah ibu saudaranya Maimunah yang merupakan isteri Nabi. Kata beliau: "Aku berbaring di sebelah lebar bantal, manakala Nabi dan isterinya berbaring di sebelah memanjang bantal lalu Baginda tidur. Hinggalah tiba pertengahan malam atau kurang sedikit atau lebih sedikit, baginda bangun lalu duduk menyapu rasa mengantuk di muka baginda dengan tangan. Seterusnya baginda membaca sepuluh ayat terakhir surah Ali Imran. Kemudian baginda bangkit mengambil timba yang buruk yang tergantung, lalu berwudu'. Baginda memperelokkan wuduknya, kemudian bangun untuk mengerjakan solat. Kata Ibnu Abbas: Aku pun bangkit, lalu aku lakukan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Kemudian aku pergi, lalu berdiri di sebelah baginda…" (Hadis sahih riwayat Bukhari)
Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat 159 al-Baqarah, firman Allah SWT:
ÄMaksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk".
Berkata al-Qurtubi bahawa tidak diharuskan mengajar al-Quran dan ilmu kepada orang kafir sehingga mereka menganut Islam. Begitu juga tidak harus mengajar jidal (ilmu perdebatan) dan hujah kepada mubtadi' (pelaku bid'ah) kerana dibimbangi mereka menggunakan ilmu tersebut untuk dengan ahl al-haq.
Ijmak muslimin mengatakan bahawa memelihara mashaf dan menghormatinya adalah wajib. Ulama mazhab kita (Syafi'iyyah) dan lainnya berkata: "jika seseorang muslim mencampaknya ke tempat yang kotor, orang yang mencampakkanya itu menjadi kafir. Mereka juga berkata bahawa menjadikan mashaf sebagai bantal adalah haram. Malah berbantalkan buku-buku yang lain juga adalah haram.
Menjual mashaf kepada kafir zimmi adalah haram. Jika ia dijual juga, terdapat dua qaul mengenainya bagi Imam Syafie. Pendapat yang lebih sahih mengatakan ia tidak sah, sedangkan pendapat yang kedua mengatakan sah dan penjual tersebut diperintahkan ketika itu juga supaya segera menghilangkan pemilikan kafir zimmi terhadap mashaf.
Diwajibkan kepada mereka yang ingin menyentuh al-Quran bersuci dari hadas besar dan kecil kerana. "Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk Yang diakui bersih Suci"; adapun pembaca yang tidak berwuduk itu, membaca tanpa menyentuh al-Quran maka diharuskan melainkan jikalau berjanabah maka ditegah, tetapi membaca dengan berwuduk itu lebih afdal, kerana membaca al-Quran dengan berwuduk adalah lebih baik.
Orang yang berhadas diharamkan memegang dan menanggung (membawa atau mengangkat) mashaf; sama ada dia menanggungnya disebabkan perkara yang mempunyai hubungan dengan mashaf atau lainnya; sama ada menyentuh tulisan atau bahagian tepi atau dia hanya menyentuh kulitnya sahaja.
Terdapat dua pendapat di kalangan ulama kita dalam masalah orang yang berhadas atau berjunub atau wanita yang sedang haid membelek-belek kertas mashaf dengan menggunakan ranting kayu atau seumpamanya .pendapat yang azhar (lebih zahir) ialah harus. Pendapat ini diputuskan oleh ulama kita di Iraq. Ini kerana perbuatan tersebut tidak dianggap menyentuh atau menanggung. Manakala pendapat kedua pula mengatakan hukumnya adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut dianggap menanggung kertas, sedangkan satu kertas dikira seperti satu al-Quran.
adakah seseorang yang membawa al-Quran di dalam poket, dan kadang-kadang membawa mashaf al-Quran kedalam tandas, membawa al-Quran dalam poket hukumnya harus, dan tidak harus seseorang masuk tandas bersama mashaf al-Quran, bahkan hendaklah meletakkan al-Quran di tempat sewajarnya kerana memuliakan kitab Allah, tetapi jikalau terpaksa membawa al-Quran bersama kedalam tandas kerana bimbang dicuri maka dalam hal ini diharuskan kerana dharurat. Fatwa ini dikeluarkan oleh lajnah Buhuth Ilmiyah dan fatwa yang diketuai oleh Abd Aziz bin Baz anggota-anggota Abdullah bin Quud, Abdullah Gahdyan, Abd Razak Afifi.
Ibn Hazm dalam al-Muhalla menyatakan membaca al-Quran, sujud tilawah, menyentuh al-Quran dan berzikir, semuanya harus dengan wuduk atau tanpa wuduk , bagi mereka yang berjunub atau haid, dalilnya kerana membaca al-Quran, sujud tilawah dan menyentuh al-Quran dan berzikir adalah perbuatan yang baik yang diberi pahala kepada mereka yang melakukannya. Maka sesiapa mendakwa bahawa perbuatan tersebut mesti dengan wuduk, datanglah dalil.
Hukum berkaitan wanita membaca al-Quran, Adakah wajib bagi seorang perempuan untuk memakai hijab yang sempurna ketika membaca al-Quran?
Menurut pendapat Muhamad Salih al-Munajjid, tidak wajib bagi seseorang perempuan memakai hijab dengan sempurna untuk membaca ala-Quran kerana tiada dalil yang mewajibkan begitu. Begitu juga pendapat Ibn Uthaimin, tidak disyaratkan menutup kepala ketika membaca al-Quran.
Adakah diharuskan membaca al-Quran dengan riwayat Warash, sedangkan riwayat masyhur yang dibacakan adalah riwayat Hafsh dari 'Asim, Qiraat riwayat Warash dari Nafi' adalah qiraat yang sahih dan muktabar disisi ulama tetapi sebaik tidak dibaca semasa sembahyang berjemaah, kerana ia boleh membawa masalah terhadap makmum tetapi kalau membaca ketika sembahyang bersendirian tidak mengapa. Pendapat ini adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah al-Buhuth yang anggotanya diketuai oleh Abd Aziz bin Baz, anggota-anggota Abdullah bin Quud, Abdullah Gahdyan, Abd Razak Afifi.
al-Nawawi telah menyebut di dalam Majmuk Syarah al-Muhazzab bahawa tidak boleh membaca al-Quran dengan qiraat yang shaz kerana ia bukan al-Quran, kerana al-Quran diriwayatkan dengan riwayat mutawatir, adapun qiraat shaz ianya tidak mutawatir, Ibn Abd al-Bar telah menyebut bahawa telah menjadi ijmak ulama tidak harus membaca qiraat shaz dan tidak boleh sembahyang di belakang orang yang membaca qiraat shaz.
Bersumpah dengan Al-Quran adalah sumpah yang sah dan wajib kaffarah jika orang yang bersumpah itu tidak melaksanakannya, kerana ayat-ayat suci adalah kalam Allah. Orang yang bersumpah dengan Al-Quran bermaksud bersumpah dengan apa yang termaktub di dalam Al-Quran. Jika yang bersumpah itu seorang yang mukallaf; bersumpah bukan kerana dipaksa oleh sesiapa bahkan bertujuan bersumpah maka jadilah kata-katanya sebagai mengangkat sumpah. Jika ia telah melanggar sumpahnya maka wajib atasnya kaffarah kerana melanggar sumpah, iaitu wajib atasnya membuat satu daripada 3 perkara ini. Sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran, Surat Al-Maidah ayat 89:
Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu Yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya Dengan sebab sumpah Yang sengaja kamu buat Dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan Yang sederhana Yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa Yang tidak dapat (menunaikan denda Yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah, peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamanya) supaya kamu bersyukur. Fatwa oleh Isa Semait Mufti Singapura.
WAJIB MENJAGA KEMULIAAN AL-QURAN
Menurut ulama membaca Al-Quran itu lebih utama (afdal) daripada membaca tasbih, tahlil dan zikir-zikir yang lain selain Al-Quran. (Al-Tibyan: 17).
Perkara ini dapat difahami kerana ia adalah Kitabullah, kitab suci umat Islam yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi-Nya yang terakhir dalam tempoh masa lebih kurang 23 tahun.
Berdasarkan catatan sejarah Al-Quran sejak dari awal turunnya, ia telah mula dihafal dan ditulis sehinggalah turun ayatnya yang terakhir.
Penghafalan dan penulisan ini berlaku adalah bagi memenuhi sebahagian tuntutan pemeliharaan, penyucian dan penghormatan kepada kitab suci ini.
Oleh itu, sesuai dengan fungsinya sebagai kitab yang paling suci, maka semua umat Islam sepakat (ijmak) tentang wajibnya ke atas orang Islam menjaga dan menghormati Al-Quran.
Di antara cara menghormatinya, ia tidak boleh dicampakkan dan ditindih dengan sesuatu di atasnya. Dalam hal ini al-Nawawi menjelaskan bahawa apabila seseorang Islam itu melempar atau mencampakkan mushaf (Al-Quran) ke tempat-tempat yang kotor dan jijik, maka dia dihukumkan kafir. Begitu juga haram meletakkan sesuatu di atasnya sekalipun dengan kitab-kitab agama. (Al-Tibyan: 150).
Menurut beliau lagi, sebagaimana yang telah diriwayatkan di dalam musnad Al-Darimi bahawa Ikrimah bin Abu Jahal meletakkan mushaf di mukanya (separasnya muka) seraya berkata: "Kitab Tuhanku, kitab Tuhanku." Berdasarkan riwayat ini adalah wajar meletakkan Al-Quran itu di tempat yang sesuai seperti di atas kepala dan tidak di tempat yang hina dan tercemar.
Wajib memelihara kesucian al-Quran, al-Quran ialah kalam Allah. Oleh itu, setiap perkara yang bersangkut paut dengan al-Quran perlu dijaga serta dipelihara seperti adab-adab menulis, memegang, membawa dan menyimpan mashaf al-Quran.
Antara garis panduan beradab dengan mashaf al-Quran ialah adalah berikut:
- berwuduk ketika menulis, memegang dan membawa al-Quran.
- memuliakan mashaf al-Quran dengan meletakkan di tempat yang tinggi.
- menutup aurat ketika membawa al-Quran.
- Mencium mashaf al-Quran selepas membacanya.
- memegang dan membawa al-Quran dengan tangan kanan.
Adab dan garis panduan yang telah disebutkan sangat penting diamalkan demi menghormati al-Quran disamping membentuk displin seorang Muslim.
Termasuk dalam kategori menjaga kemuliaan Al-Quran itu ialah menjaganya daripada jatuh ke tangan orang-orang kafir. Larangan ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang membawa Al-Quran ketika musafir (belayar) ke negeri musuh (kafir). (Riwayat Al-Bukhari).
Berdasarkan pengkajian dan perbahasan ulama tentang betapa perlunya menghormati kitab suci ini, mereka telah membuat beberapa displin dan adab terhadapnya.
Berikut ini disebutkan beberapa adab yang berkaitan dengan Al-Quran dan mushaf bagi tujuan memuliakan dan menghormatinya sebagaimana disebut dalam kitab Nawadir Al-Usul Fi Ma'rifah Ahadith Al-Rasul (2.391-396)
1. Menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat mushaf (Al-Quran) hendaklah dalam keadaan suci (berwuduk), sama ada ayat-ayat Al-Quran itu ditulis pada kertas, papan, besi, kain dan sebagainya. Dalam kaitan ini termasuklah poster atau sepanduk yang sepenuhnya bertuliskan ayat Al-Quran.
2. Tidak meletakkan mushaf pada tempat yang mudah terdedah kepada pencemaran seperti di tempat yang sering jatuh padanya najis burung, cicak dan lain-lain dan tidak membiarkan bertaburan dan berselerak di tempat yang tidak sepatutnya.
3. Tidak meletakkan sesuatu di atas mushaf, sama ada buku atau yang lainnya. Mushaf itu pula hendaklah diletakkan di atas segala buku dan di tempat yang lebih terhormat.
4. Ketika membaca mushaf eloklah dipangku atau diletakkan di atas sesuatu di hadapan seperti rehal dan tidak meletakkannya secara langsung di atas lantai.
5. Jika ia ditulis, jangan dihapus atau dipadam dengan air liur tetapi boleh memadamkan tulisannya dengan air yang bersih. Bekas larutan basuhannya hendaklah tidak jatuh ke tempat yang bernajis kerana larutan basuhan itu perlu dihormati.
6. Adalah elok dan wajar memandang Al-Quran, paling tidak sekali pada setiap hari. Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri RA katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Kamu berikanlah peruntukkan ibadat untuk mata kamu. Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apa dia peruntukkan ibadat mata? Baginda menjawab: "Peruntukkan ibadat mata ialah memandang mushaf, memikirkan kandungannya dan mengambil iktibar daripada keajaibannya."
7. Mencantikkan tulisan apabila menulisnya. Diriwayatkan daripada Abu Halimah bahawa semasa ia menulis mushaf di Kufah, Ali bin Abu Thalib berlalu dan melihat tulisannya seraya berkata kepada Abu Halimah: "Tajamkan penamu". (Abu Halimah berkata) saya pun mengambil pena, lalu menajamkan hujungnya, kemudian saya menuliskannya semula, dan Ali RA berdiri memerhatikan tulisanku, kemudian beliau (Ali) berkata: "Beginilah sepatutnya cara kamu menyinari mushaf sebagaimana Allah SWT menyinarinya."
8. Tidak menjadikan mushaf sebagai bantal dan alat bersandar dan jangan melemparkannya kepada kawan apabila kawan itu hendak mengambilnya.
9. Jangan memperkecilkan (saiz) mushaf sebagaimana telah diriwayatkan bahawa Ali RA pernah berkata: "Jangan engkau perkecil mushaf."
10. Hendaklah mushaf itu diasingkan dan tidak mencampur- adukkan dengan benda lain yang bukan daripada mushaf, yakni tidak meletakkan apa-apa benda di dalamnya.
11. Tidak menghiasi mushaf dengan emas dan tidak ditulis dengan emas supaya tidak bercampur dengan perhiasan dunia.
12. Tidak menuliskannya di tanah kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang berbuat demikian. Daripada Umar bin Abd. Aziz Rahimahullah telah berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah melintasi (tempat) yang ada tulisan di tanah lalu Baginda bertanya kepada seorang muda daripada suku Huzail: "Apa ini?" Pemuda itu menjawab: "Sebahagian tulisan dari Kitab Allah SWT yang ditulis oleh seorang Yahudi." Kemudian Baginda bersabda: "Allah SWT melaknat orang yang melakukan (perkara) ini, janganlah kamu letakkan Kitab Allah SWT melainkan pada tempatnya." Bertolak daripada peristiwa ini segolongan besar ulama berpendapat makruh hukumnya menulis Al-Quran dan nama-nama Allah pada mata wang dirham, mihrab dan dinding. (Ahsan Al-Kalam: 2:114).
13. Apabila tulisan Al-Quran dijadikan bahan mandian kerana berubat daripada penyakit yang dialaminya, maka janganlah ianya jatuh ke tempat yang kotor dan bernajis, atau ke tempat yang dipijak. Adalah elok jika ia jatuh ke tanah yang tidak menjadi pijakan orang ramai atau ke lubang yang digali di tempat yang bersih supaya airnya jatuh ke dalam lubang itu, kemudian barulah lubang itu ditutup. Selain daripada cara itu, air tersebut boleh juga dialirkan ke sungai supaya larutan itu akan mengalir bersama.
14. Ayat-ayat pelindung daripada Al-Quran tidak dibawa masuk ke dalam tandas kecuali ianya dimasukkan dalam sarung kulit atau perak atau sebagainya kerana berbuat yang demikian itu ianya seperti berada di dalam dada.
15. Apabila ianya ditulis dan airnya diminum hendaklah membaca basmalah setiap kali minum dan membetulkan niat, kerana Allah SWT akan memberi mengikut kadar niatnya. Daripada Mujahid katanya: "Tidak mengapa menulis ayat-ayat Al-Quran kemudian melarut atau melunturkan ayat-ayat yang ditulis itu lalu meminumkannya kepada pesakit."
- PERUNTUKAN PENYEBARAN AL-QURANMENURUT UNDANG-UNDANG.
Demi menjaga kesucian dan kemuliaan kitab al-Quran dai diselewengkan, maka Kerajaan Malaysia melalui Kementerian keselamatan dalam negeri telah menetapkan suatu akta kawalan penerbitan dan teks al-Quran, Kementerian keselamatan dalam negeri telah menyenaraikan beberapa syarikat percetakan teks al-Quran yang diluluskan oleh Kementerian berkenaan. Di sini penulis sertakan senarai syarikat percetakan al-Quran yang diperakui oleh Kementerian keselamatan dalam negeri.
Undang-undang berkait akta penerbitan al-Quran, Kawalan teks al-Quran menurut peruntukan undang-undang bagi memastikan bahawa semua teks dan bahan Al-Quran yang dicetak, diimport dan diedar dalam negara ini tidak mengandungi sebarang kesilapan demi menjaga kesucian Al-Quran. Peraturan Yang Perlu Dipatuhi Individu/Syarikat Yang Ingin Menerbit, Mencetak, Mengimport Dan Mengedar Al-Quran Di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 326 1986 (pindaan) 1998;
Permohonan Lesen Mencetak Teks Al-Quran
Di bawah seksyen 5 (1);
"Tiada seorangpun boleh mencetak atau membantu dalam pencetakan, atau menerbitkan atau membantu dalam penerbitan, sesuatu teks al-Quran tanpa suatu lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga, dan Lembaga boleh, menurut budi bicara mutlaknya, memberikan lesen itu, enggan memberikan lesen itu, atau membatalkan lesen itu, atau memberikan lesen itu tertakluk kepada syarat-syarat yang diendorskan pada lesen itu".
Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Permohonan Perakuan Betul Pruf Akhir Teks Al-Quran.
Di bawah seksyen 6(1);
"Tidak seorangpun boleh mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran melainkan jika pruf akhir teks al-Quran itu telah dikemukakan kepada Lembaga dan Lembaga telah memperakui bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam pruf akhir itu adalah betul, sama ada bagaimana yang dikemukakan pada asalnya atau sebagaimana yang dibetulkan oleh Lembaga".
(2) Perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah mengandungi nombor rujukan yang sesuai dan hendaklah menyatakan pembetulan-pembetulan jika ada, yang dibuat Lembaga kepada atau berkenaan dengan teks al-Quran itu".
Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebhi tiga tahun atau kedua-duanya.
Permohonan Mengimport Al-Quran.
Di bawah seksyen 7(1);
"Tidak seorangpun boleh mengimport untuk dijual atau diedarkan sesuatu teks al-Quran yang telah dicetak di luar Malaysia melainkan jika sebelum pengimportan itu satu salinan telah dikemukakan kepada Lembaga bersama dengan suatu akuan berkanun yang menyatakan bahawa dia bermaksud mengimport teks-teks al-Quran lain yang sama daripada setiap salinan yang telah dikemukakan dan Lembaga telah memperakui secara bertulis bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalamnya adalah betul".
Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
PAPARAN PERAKUAN BETUL PRUF AKHIR PADA TEKS AL-QURAN.
Di bawah seksyen 8(1):
"Tiap-tiap teks al-Quran yang dicetak di Malaysia atau diimport ke dalam Malaysia selepas Akta ini berkuatkuasa hendaklah menunjukkan dengan ketara pada helai yang pertama atau yang akhir teks itu maklumat yang berikut:
(a) nama dan alamat pencetak dan penerbitnya atau, dalam hal sesuatu teks al-Quran yang diimport, nama dan alamat pengimportnya;
(b) alamat tempat ia dicetak;
(c) suatu pernyataan yang bermaksud bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam teks itu telah diperakui betul oleh Lembaga menurut seksyen 6 atau 7; dan
(d) nombor rujukan perakuan yang relevan.
(2) Tidak seorangpun boleh mencetak atau membantu dalam pencetakan, atau menerbitkan atau membantu dalam menerbitkan, sesuatu teks al-Quran yang tidak mematuhi kehendak-kehendak subseksyen (1) atau yang didalamnya mana-mana maklumat atau pernyataan yang dikehendaki ditunjukkan di bawah subseksyen (1) adalah palsu.
Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (2) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
CETAKAN TEKS AL-QURAN YANG BERBEZA.
Di bawah seksyen 9(1);
"Tidak seorangpun boleh mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran yang berbeza, berkenaan dengan ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalamnya, daripada ayat-ayat yang bersamaan yang diperakui betul oleh Lembaga berdasarkan pruf akhir teks al-Quran itu di bawah seksyen 6".
Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
PELUPUSAN TEKS DAN BAHAN AL-QURAN.
Di bawah seksyen 11 (1);
"Seseorang yang mencetak sesuatu teks al-Quran atau bahan al-Quran hendaklah mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan bahawa apa-apa bahan buangan yang di atasnya tercetak atau terdapat sesuatu ayat al-Quran dimusnahkan dengan serta merta dengan membakarnya di suatu tempat bertutup yang tidak dapat dimasuki oleh orang awam dan tidak meninggalkan premis pencetakan itu dengan apa-apa cara pun, kecuali semasa ia dipindahkan ke suatu tempat untuk dimusnahkan sebagaimana tersebut dahulu".
Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) dan (2) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Tidak Boleh Menerbitkan Teks Al-Quran Yang Mengandungi Kesilapan.
Di bawah seksyen 14 (1);
"Tiada seorangpun boleh mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran atau bahan yang mengandungi apa-apa kesilapan berkenaan dengan sesuatu ayat al-Quran di dalamnya".
Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pengecualian Akta 326.
1) Seksyen 25 (1) Tiada apa-apa dalam Akta ini terpakai bagi pencetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran atau penyebaran sesuatu teks al-Quran atau bahan al-Quran oleh Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau sesuatu badan berkanun yang diberikuasa oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan.
2) Menteri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan seseorang atau sesuatu teks al-Quran atau bahan al-Quran daripada pemakaian semua atau mana-mana peruntukan Akta ini.
- AMALAN PENYEBARAN AL-QURAN
Adakah al-Quran boleh diletakkan di hotel-hotel. Menurut keputusan fatwa Muzakarah Jawatankuasa fatwa majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal agama Islam bertajuk "Al-Quran diletakkan di Hotel-hotel Malaysia. Hasil dari perbincangan itu satu kesepakatan meletakkan al-Quran di hotel-hotel di Malaysia dengan mematuhi kaedah-kaedah berikut:
- Diletakkan di tempat khas supaya tidak dicapai oleh kanak-kanak sekiranya mereka berada di situ.
- Sentiasa diawasi oleh penyelia hotel yang beragama Islam supaya tidak disalah guna.
- Meletakkan nota/catatan bagi orang-orang yang ingin menyentuh al-Quran di cermin khas di mana al-Quran itu ditempatkan.
- Adalah lebih baik kalau disediakan al-Quran terjemahan supaya mereka boleh memahami dengan lebih dekat lagi isi kandungan al-Quran. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-42, Tarikh Keputusan: 30 Mei 1997.
Namun amat malang majlis fatawa terenganu telah mengeluarkan fatwa yang bercangah fatwa yang bertajuk "Menyediakan al-Quran dan terjemahannya di bilik-bilik hotel terkemuka di negeri Terengganu".
Jawatankuasa fatwa yang bersidang pada hari ini memutuskan bahawa membekal al-Quran dan terjemahannya di tiap-tiap bilik hotel tidak diharuskan kerana bilik-bilik hotel terbuka penginapannya kepada orang-orang bukan Islam sedangkan al-Quran haram disentuh oleh bukan Islam atau terjatuh ke tangan mereka. Jawatankuasa mensyorkan supaya pihak pengurusan hotel mengadakan satu tempat khas bagi kemudahan orang Islam meminta al-Quran dan terjemahannya, buku-buku dakwah dan sejadah, dan kemudahan tersebut hanya diberi kepada orang Islam. - AMALAN PENYEBARAN AL-QURAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Pertubuhan dakwah yang menyebarkan al-quran sebagai bahan dakwah
1.1. Saba Islamic Media Sdn Bhd (SIMSB) ditubuhkan pada tahun 1989, Saba Islamic pada awalnya ialah sebuah perniagaan berasaskan perkhidmatan penghasilan, pengedaran dan pemasaran produk-produk Islam. Selain menjalankan perniagaan Saba juga terlibat menjalankan kegiatan dakwah. Aktiviti-aktiviti dakwah SIMSB diurus oleh sebuah unit yang ditubuhkan SIMSB. Unit tersebut ialah Islamic Information and Service (IIS). Antara aktiviti yang dikendalikan IIS ialah:
- Kelas Friendly Comparative Religion (FCR). Kelas ini diadakan dengan tujuan memberi kefahaman yang betul mengenai Islam, di samping melatih kader-kader dakwah tentang ilmu perbandingan agama. Kelas ini dijalankan secara mingguan (Rabu) dan juga secara intensif (Sabtu dan Ahad).
- Kelas-kelas umum. Kelas-kelas umum yang dijalankan secara percuma, dan dikhaskan kepada bekas pelajar-pelajar FCR.
- Projek Hotel al-Quran. Projek ini dimulakan pada tahun 1998 dengan nama Hotel al-Quran 98. projek ini ialah usahasama SIMSB dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dan pertubuhan-pertubuhan lain seperti Outreach ABIM, Darul fitrah, Islamic Book Trust. Projek fasa pertama telah berjaya mengedarkan lebih 30 ribu naskah al-Quran terjemahan Abdullah Yusuf Ali di lebih 100 buah hotel di Malaysia. Manakala projek fasa kedua menumpukan usaha kepada menggantikan al-Quran yang telah rosak di samping menambah jumlah naskhah al-Quran terjemahan di hotel-hotel lain.
- Menyeru masyarakat bersama-sama membantu dan menyertai Projek Hotel Quran melalui sumbangan kewangan, khidmat sukarela atau membantu menghebahkan usaha ini kepada orang ramai.
2.2. Sekretariat Dakwah Non-Muslim Pulau Pinang.
Sekretariat Dakwah non-Muslim Pulau Pinang, merupakan pertubuhan dakwah yang berada di bawah naungan Mufti negeri Pulau Pinang, Sekretariat ini mula ditubuhkan secara rasmi pada 2001, penaung kepada pertubuhan ini adalah Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Aktiviti pertubuhan ini adalah menfokuskan kepada kegiatan dakwah non Muslim dan Islah remaja Muslim. Antara aktiviti pertubuhan ini adalah motivasi remaja, Qiamullai, kem remaja, kem solat, forum antara agama, kursus-kursus dakwah kepada kader-kader dakwah dan penyebaran al-Quran terjemahan kepada non-Muslim.
menurut kenyataan Presiden Sekretariat Dakwah, Pada tahun 2005 pertubuhan ini telah berpeluang bertemu dengan Sheikh Zakiuddin al-Syarfi, seorang pendakwah dari new York ketika lawatan dakwahnya ke Malaysia, hasil dari pertemuan itu beliau telah mengilhamkan agar diusahakan dakwah dalam membentuk memberi hadiah al-Quran terjemahan kepada orang bukan Islam secara percuma sebagai bahan dakwah, bermula dari saat itu hasil dari beberapa perbincangan, Sektariat Dakwah telah berjaya mencetak al-Quran terjemahan hasil karya Abdullah Yusuf Ali, projek yang dinamakan projek al-Quran untuk dakwah (al-Quds), cetakan pertama sebanyak 10,000 naskah dan cetakan kedua pada ogos 2005 sebanyak 10,000. Cetakan al-Quran ini adalah dalam bahasa inggeris, ketika ini usaha sedang dijalankan untuk mencetak al-Quran dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu. Penerimaan masyarakat bukan Islam agak baik, kebanyakan mereka tidak menolak pemberian itu, bahkan dikalangan mereka meminta al-Quran untuk dibaca. Mekanisma mencari dana adalah dengan cara meminta masyarakat membeli al-Quran terjemahan tersebut atau membiayai dengan kos senaskah RM 5.00, Sektariat Dakwah non-Muslim ini diketuai oleh Mohammed Hafiz Mohamed Nordin, Timbalan Wan Mazlan Mohd. Husain, Setiausaha Roslan Abdul Rahim dan Bendahari Sulaiman Shamsudin.
Dalam masalah ini berlaku ikhtilaf di kalangan ulama tentang adakah dibolehkan memberikan al-Quran kepada orang kafir untuk tujuan berdakwah kerana ianya adalah persoalan baru, yang belum dibincangkan secara jelas oleh ulama. Namun secara hukum menyentuh al-Quran dan membawa al-Quran sebagaimana yang dinashkan oleh Khatib al-Syarbini (977H) bahawa adalah diharamkan membawa al-Quran dan memegang kertas yang tertulis ayat al-Quran) beliau berdalilkan firman Allah dalam surah al-Waqiah 79 "Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan." Hal ini diperkuat dengan hadith Amr bin Hazm yang lafaznya: "Jangan menyentuh Al-Quran kecuali jika kamu suci." (Hadith riwayat Malik dan Al-Darulquthni).
Hadith yang telah disebutkan menjadi dalil bahawa tidak harus menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci, iaitu orang yang beriman. Kerana itu terdapat larangan dari Rasulullah membawa al-Quran ke Negara musuh kerana untuk menjaga kesucian al-Quran daripada jatuh tangan musuh-musuh Islam. Maka berdasarkan kenyataan tersebut Adapun memegang kitab tafsir al-Quran menurut ulama tidak ada larangan sebagaimana Rasulullah pernah menghantar surat kepada Hirqal maharaja Rome yang mengandungi ayat surah al-Imran ayat 64. Padahal Hirqal pada masa itu adalah beragama Musyrik.
Mazhab jumhur ulama menegah menyentuh al-Quran bagi mereka yang tidak berwuduk, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Amr bin Hizam. Dan ia juga mazhab sahabat dan tabiin yang terdiri dari Ali, Ibn Mas'ud, Saad bin Abu Waqqas, Said bin Zaid, 'Ataa', al-Zuhri, al-Nakhaie, Hakam dan Hammad. Mazhab ini juga adalah mazhab Fuqaha' seperti Malik dan Syafii.
Bagaimanakah hukum orang berjunub menyentuh al-Quran. Menurut pendapat Sayid Sabiq bahawa orang yang berjunub adalah diharamkan menyentuh dan membawa al-Quran, mengenai keharamannya adalah ittifaq segala ulama. Oleh itu orang kafir adalah ditegah sama sekali menyentuh al-Quran kerana mereka termasuk dalam golongan orang yang berhadas dan memelihara keagungan al-Quran adalah wajib.
Dalam hal tertentu dibolehkan orang yang berhadas kecil membawa al-Quran. Antara keharusan itu seperti dalam keadaan darurat seperti ditakuti al-Quran tenggelam, terbakar, kena najis atau diambil oleh orang kafir, maka dalam hal ini dibolehkan orang Islam tersebut membawa al-Quran walau tanpa berwuduk, bahkan dalam keadaan tersebut wajib ia mengambil, menyelamatkan al-Quran ketika itu juga tanpa perlu mengambil wuduk atau tayamum menurut di dalam al-Tahkik dan Syarh al-Muhazzab. Adapun masalah orang berjunub membawa al-Quran, menurut pandangan Mustafa al-Bugha bahawa harus bagi orang yang berjunub membawa kitab-kitab tafsir al-Quran yang makna tafsirnya lebih banyak daripada ayat-ayat al-Quran ini Kerana orang yang berbuat demikian tidak dianggap pembawa al-Quran di sisi pandangan umum. (Uruf).
Diharamkan menyentuh kulit al-Quran yang berhubung dengan al-Quran, kerana seolah-olah ia merupakan sebahagian dari al-Quran. Namun menurut pendapat al-Asnawi
diharuskan menyentuh kulit al-Quran kerana ia bukan kulit yang berhubung dengan al-Quran pada hakikatnya. Menurut pendapat yang diambil oleh al-Zarkasyi dari al-Ghazali dan ianya juga pendapat Ibn al-Imad bahawa diharamkan menyentuh kulit al-Quran selagi ia dikaitkan dengan a-Quran Adapun kalau ia dijadikan kulit buku maka tidak diharamkan lagi menyentuh kulit al-Quran tersebut. Pendapat ini adalah pendapat yang muktamad.
Orang yang berhadas diharamkan memegang dan menanggung (membawa atau mengangkat) mashaf; sama ada dia menanggungnya disebabkan perkara yang mempunyai hubungan dengan mashaf atau lainnya; sama ada menyentuh tulisan atau bahagian tepi atau dia hanya menyentuh kulitnya sahaja.
SARANAN DAN CADANGAN
- Mengadakan pelbagai bahan bacaan dan sumber lain mengenai Islam seperti dalam bahasa Cina, India dan lain-lain, bagi memudahkan para masyarakat non-Muslim memahami Islam.
- Mengambil berat menyebarkan Islam kepada orang bukan Islam.
- Para pendakwah hendaklah sentiasa mengkaji kedudukan dan keadaan mereka yang belum Islam, bagaimana cara sesuai menarik minat mereka supaya gemar kepada Islam.
- Menggunakan segala kemudahan media yang ada seperti media cetak elektronik, dan multimedia sebagai medium dakwah, selain itu kemudahan internet harus dimanafaatkan oleh pendakwah.