25 Januari 2014

Datuk Harun Taib

Kuala Terengganu-25 jan 2014 Ketua Dewan Ulamak Pas, Tuan Guru Datuk Harun Taib, 71, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada pukul 12.17 pagi.

Hilmi Harun

Anak Allahyarham, Hilmi Harun yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di HSNZ pada pukul 12.17 pagi semalam akibat kegagalan fungsi organ dalaman disebabkan penyakit kencing manis.


"Arwah sudah menghidap penyakit strok sejak 2010, tapi tahun terakhir ini kencing manis makin teruk dan serangan kuman sudah semakin merebak dan boleh dikatakan merebak ke buah pinggang walaupun keadaan darah dan jantungnya stabil," katanya ketika ditemui semasa majlis pengebumian Allahyarham di sini hari ini.


Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Manir untuk dimandi dan disembahyangkan di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik, Manir pada pukul 10 pagi tadi dan diimamkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Kira-kira 5,000 orang termasuk beberapa pemimpin turut menziarahi jenazah Allahyarham dan bersolat jenazah.


Allahyarham pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir selama empat penggal iaitu bermula 1982 (Pilihan Raya Umum ke-6) sehingga 2004 pada PRU-11 dan sepanjang tempoh itu hanya sekali kalah pada PRU-7.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Persendirian Alur Lerang di Manir kira-kira pukul 11 pagi.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob. 
Sementara itu, Jailani menyifatkan Allayarham sebagai seorang pemimpin yang senang untuk berbincang, berwibawa serta seorang yang tegas dalam menyuarakan pendapatnya.

"Saya pernah duduk sekali bersembang dengan Allayarham dan bertukar pendapat dengannya...dan memang saya tidak mengira fahaman politik, selesa untuk bertukar pandangan dengan Allahyarham,"