26 Ogos 2007

Tokoh Islam

Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardazbah al-Ja'fi al-Bukhari. Dilahirkan di pekan Bukhara pada hari Jumaat 13 Syawal tahun 194H / 810M. Beliau telah mendapat pendidikan yang baik sejak kecil lagi daripada ibunya sendiri. Diceritakan bahawa ibunya seorang yang solehah dan sangat mustajab doanya. Seterusnya al-Bukhari telah belajar ilmu agama dengan tekun sekali terhadap ulamak-ulamak pada zamannya.


Imam al-Bukhari r.a, mula menghafal hadith Rasulullah sejak kecil lagi, iaitu sebelum berusia sepuloh tahun. Kemudian beliau terus menambahkan hafalannya dan terus mempelajari dan mengumpulkan hadith. Beliau telah mendalami ilmu hadith sehingga diakui sebagai imam ahli hadith dan sheikh huffaz al-hadith.

Ayahnya meninggal dunia semasa beliau masih kecil lagi. Beliau diberkati Allah dengan ingatan yang kuat dan dapat mengingat sejuta hadith dengan terperinci sampai kepada berbagai sumber dan periwayat setiap hadith yang pernah didengarinya.

Sahih al-Bukhari karyanya itu diterima umum sebagai himpunan hadith Rasulullah yang sahih. Beliau juga terkenal sebagai ahli hadith yang besar di dalam dunia Islam.


Pendidikan

Imam al-Bukhari mula mempelajari secara serius ilmu hadith ini ialah pada usianya 11 tahun, semasa mengunjungi berbagai Kota suci di seluruh dunia Islam. Sewaktu umurnya 18 tahun beliau telah menulis sebuah buku. Abangnya yang tertua pernah berkata: "Bukhari waktu muda bersama-sama kawan-kawannya mengikuti ceramah cendikiawan di satu tempat yang bernama Balakh tanpa sebarang catatan. Ini menjadi bahan cercaan sahabatnya, teapot apabila Bukhari membuktikan bahawa dengan hafalan sebanyak lima belas ribu hadith lengkap dengan keterangan yang tidak sempat dicatat oleh kawan-kawannya, mereka amat terkejut".

Imam al-Bukhari telah mengembara kerana menuntut ilmu. Lima tahun masanya dihabiskan di Basra. Beliau berkelana mencari ilmu ke seluruh Asia Barat. Sepanjang perjalanannya ini, ia telah meriwayat hadith dari lapan puluh ribu periwayat dan dengan berkat ingatannya yang kuat, ia telah menghafal sebanyak sejuta hadith lengkap dengan sanad dan keterangannya.

Imam al-Darimi, salah seorang gurunya mengakui keluasan hadith muridnya itu dengan katanya: "Di antara ciptaan tuhan pada masanya, Imam Bukhari agaknya yang paling bijak".


Sifat Peribadinya.

  1. Imam Bukhari tidak merasa jemu dan bosan menjelajah dari sebuah negeri, kerana menuntut hadith dan menghafaznya.
  2. Sifat peribadinya begitu terkenal di zaman itu hingga di mana sahaja beliau berada, beliau sentiasa dikerumuni oleh para ulamak dan para penghafaz hadith.
  3. Imam Bukhari sangat teliti dan cermat dalam hadithnya. Setiap hadith yang dikumpul itu dikaji terlebih dahulu dari semua aspek hingga benar-benar beliau yakin yang kesahihannya. Sebelum dicatatkan, beliau terlebih dahulu menunaikan solat dua rakaat, beristikharah kepada Allah agar mendapat taufik terhadap pengumpulan hadith yang benar-benar sahih.
  4. Imam Bukhari telah mengariskan syarat-syarat yang ketat bagi menerima suatu hadith. Beliau terpaksa memastikan hadith-hadith itu benar datangnya dari Rasulullah dengan sanadnya yang bersambung dan para perawi yang mempunyai ciri-ciri keadilan, kejujuran dan ingatan yang kuat serta bertemu sendiri dengan perawi hadith itu.
  5. Beliau akan berkunjung ke mana sahaja, jika didapati terdapat guru-guru yang banyak mengetahui tentang hadith-hadith Rasulullah untuk berbincang dan mengambil hadith-hadith dari mereka.


Sumbangan dalam ilmu

Imam Bukhari telah berjaya mengemukan kepada umat Islam satu himpunan hadith yang paling unik dan sistematik di zaman itu yang diberi nama "Sahih al-Bukhari", iaitu sebuah kitab yang mengumpulkan hadith-hadith yang paling tinggi derajatnya.

Para ulamak Islam timur dan Barat sepakat memberi nama jolokan kepada "Sahih al-Bukhari", itu sebagai sebuah kitab yang paling sahih di muka bumi selepas al-Qur'an al-Karim. Kitab Sahih al-Bukhari ini mengandungi tujuh ribu dua ratus tujuh puluh lima hadith yang merupakan saripati sahih yang dipilih di antara enam ratus ribu hadith didengar dikumpul dan dikaji oleh beliau selama enam belas tahun.

Kitab sahih Bukhari telah disusun mengikut bab-bab fiqh iaitu bab ibadat, muamalat, dan Sirah yang terdiri dari sembilan puluh tujuh bab atau kitab. Cara penyusunannya yang istimewa itu menunjukkan luasnya ilmu pengetahuan dan kefahaman beliau dalam perundangan Islam.