Rasulullah s.a.w telah menghantar surat kepada raja-raja dan selainnya. Dalam surat-surat itu Rasulullah menyeru agar mereka itu memeluk Islam, dalam surat Rasulullah itu tertulis ayat al-Quran. ini membuktikan bahawa al-Quran merupakan bahan dakwah kerana ia adalah wahyu Allah yang tidak mampu ditandingi oleh masyarakat Arab yang mahir dalam sastera Arab pada masa itu dan sehingga, mereka tidak mampu menandingi kehebatan bahasa al-Quran lalu ada antara mereka memeluk Islam. Rasulullah telah menghantar surat kepada raja-raja antaranya Hirqal, Kisra, al-Najasyi, Maqauqis dan lain-lain.[1] Disini disertakan contoh surat Rasulullah kepada Hirqal sebagaimana yang disebut dalam hadith yang diriwayatkan al-Bukhari[2]
بسم الله الرحمن الرحيم، من محمد رسول الله، الى كسرى عظيم فارس، سلام على من اتبع الهدى وامن بالله ورسوله وشهد ان لااله الاالله وحده لاشريك له، وان محمدا عبده ورسوله، أدعوك بدعاية الله، فاني أنا رسول الله الى الناس كافة لينذر من كان حيا ويحق القول على الكافرين، أسلم تسلم، فان أبيت فعليك اثم المجوس.
Maksudnya: Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, dari Muhammad utusan Allah, kepada Kisra raja Parsi, Selamat sejahtera atas orang yang mengikuti petunjuk yang benar dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan menyaksikan bahawa tiada Tuhan kecuali Allah, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasulnya, saya mengajak anda beriman kepada Allah, kerana aku Rasul Allah kepada semua orang, untuk memberi amaran kepada manusia yang hidup dan berkata benar kepada orang-orang yang kafir, Islamlah dengan Islam anda selamat, jikalau anda enggan keatas anda dosa pengikut-pengikut anda (majusi).
Dalam surat kepada Kisra maharaja Parsi itu antara lain Rasulullah telah menulis atau mengarahkan sahabat baginda menulis beberapa petikan daripada ayat al-Quran sebagai bahan dakwah untuk mengajak Hirqal agar beriman kepada kerasulannya dan keimananan kepada Allah s.w.t.
Seterusnya dalam tajuk ini penulis menyenaraikan beberapa contoh orang bukan Islam yang memeluk Islam dengan membaca dan memahami kandungan al-Quran dan ada dikalangan mereka yang mendengar dibacakan ayat al-Quran, Allah mencampakkan keimanan kepada mereka. maka al-Quran itu merupakan kitab petunjuk kepada semua umat manusa.
1. Umar al-Khatab.
Sewaktu orang-orang Islam berhijrah ke Habsyah Umar masih memihak kepada kaum Musyrik Quraisy dan turut menyeksa orang-orang Islam di Makkah. Beliau pada ketika itu berusia dalam lingkungan 30-35 tahun dan disifatkan sebagai seorang pahlawan Quraisy yang kuat dan berani, berbadan tegap, cepat marah dan penagih judi dan arak.[3]
Umar memeluk Islam pada bulan Zulhijah tahun ke 6 kerasulan Nabi Muhammad, Umar memeluk Islam setelah dibacakan beberapa ayat al-Quran yang sungguh menakjubkan dan mempesonakan hati. Umar memeluk Islam setelah tiga hari Hamzah bin Abd Mutalib memeluk Islam. PengIslaman Umar merupakan sesuatu peristiwa besar dalam sejarah umat Islam dan juga merupakan sesuatu kemenangan bagi mereka, kerana Umar merupakan orang yang berpengaruh dan disegani oleh Musyrikin makah.[4]
Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir meriwayatkan dari Ibn Abbas r.a, Umar al-Khattab telah menceritakan bagaimana beliau memeluk Islam. Umar keluar dengan pedang terhunus dalam perjalanan ia bertemu dengan pemuda Bani Makhzum, menurut Mahayudin Yahaya, lelaki itu bernama Nuaim bin Abdullah.[5] lelaki itu bertanya: mahu kemana wahai Umar? Umar menjawab, aku mahu membunuh Muhammad. Lelaki itu berkata, bagaimana kamu boleh selamat dari tindak balas keluarganya dari Bani Hasyim dan Bani Zuhrah? Umar menjawab, aku nampak awak juga telah menukar agama dan meninggalkan agama yang dianuti selama ini. Lelaki itu menjawab, kalaupun aku melakukannya, telah melakukannya orang yang lebih besar haknya keatasmu, lebih daripada aku. Umar bertanya, siapa? Lelaki itu menjawab: adikmu dan iparmu. Dengan marah Umar menuju ke rumah adiknya. Ketika itu Khabab bin al-Arat sedang membaca al-Quran untuk adik Umar dan iparnya. Apabila mendengar suara Umar, Khabab terus menyembunyikan diri didalam rumah dan Fatimah bin al-Khatab sahifah (kertas yang tertulis) dengan ayat-ayat al-Quran. Umar terus menerkam iparnya dan menamparnya sehingga terjatuh. Sebelum Umar bertindak lebih lagi adiknya Fatimah menghalang. Lalu Umar menampar Fatimah sehingga berdarah mukanya. Fatimah berkata: yang benar bukan agama yang kamu anuti selama ini. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan lain melainkan Allah, dan aku naik saksi Nabi Muhammad pesuruh Allah.
Tiba-tiba Umar terasa sedih terhadap adiknya dan menyesal diatas kekasarannya. Lalu Umar pun berkata kepada adiknya: lalu Umar berkata berikan lembaran (al-Quran) itu, aku mahu melihatnya. Adiknya menjawab: Kau masih najis. Surat ini tidak boleh disentuh melainkan oleh orang-orang yang bersuci. Umar pun pergi mandi. Setelah selesai ia mengambil lembaran itu, tiba-tiba didalamya ia terbaca firman Allah:
Yang bermaksud: Taa' Haa, Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) supaya Engkau menanggung kesusahan. hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang Yang takut melanggar perintah Allah, (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) Yang menciptakan bumi dan langit Yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy. Dia lah jua Yang memiliki Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi serta Yang ada di antara keduanya dan juga Yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. (Thaha: 1-6)
Setelah membacanya Umar berkata: “Nama-nama yang baik lagi suci.”
Umar meneruskan bacaannya, sambil berkata: “Alangkah indahnya dan baik kata-kata ini. Aku masuk Islam. Tunjukkan kepadaku di mana Rasulullah?” Khabab yang sedang bersembunyi meluru keluar dan berkata: Bergembiralah wahai Umar. Aku berharap engkaulah yang dimaksudkan dengan doa rasulullah:
وعن ابن عمر أن رسول الله قال: اللهم أعز الإسلام بأحب الرجلين إليك: إما عمر بن الخطاب، أو أبي جهل بن هشام فكان أحبهما إلى الله: عمر .الحديث رواه أحمد في مسنده والترمذي وابن سعد والبيهقي مرفوعًا كما في كشف الخفا.
Ertinya: Ya Allah, ya tuhanku, kuatkanlah Islam dengan salah seorang daripada dua Umar (Umar al-Khatab dan Amr bin Hisyam). [6]
2. Yusuf al-Khattab
Al-Quran telah mengubah keluarga Yuusuf al-Khattab walaupun ia berbangsa Yahudi, ia bukan penghalang kepada keluarga Yusuf untuk menerima kebenaran dan memeluk agama Islam.[7]
Yahudi adalah sebuah gerakan yang zalim dan kejam tanpa mempunyai nilai-nilai ketamadunan manusia kecuali bernafsukan binatang. Rejim Israel menjadikan manusia yang lain umpama binatang buruan yang kemudiannya dibunuh dengan kejam. Tanpa ada sebarang peraturan dan undang-undang yang membataskan kecuali berpaksi kepada undang-undang rimba! Namun masih ada Yahudi yang waras akalnya. Malah sanggup meninggalkan segala macam doktrin Yahudi dan akhirnya mengakui kebenaran Islam dan memeluk agama itu tanpa sebarang halangan dan prejudis. Antaranya, Yusuf al-Khattab dan seisi keluarga memeluk Islam dengan seikhlas hati sekaligus membuktikan Islam agama sejagat. Yusuf al-Khattab dilahirkan dalam keluarga Yahudi tetapi ia lebih bersifat sekular, iaitu tidak begitu taksub terhadap ajaran Taurat dalam setiap aspek kehidupan.
Ruang lingkup agama Yahudi adalah ibadat semata-mata, bukan untuk dijadikan cara hidup. Ketika usia Yusuf al-Khattab mencecah 18 tahun, Yusuf ingin melihat lebih jauh ke dalam agamanya, terutama dalam mempercayai kewujudan tuhan. Lantas beliau memilih pengajian Rabbinical Orthodox Judaism ketika belajar di sekolah Yahudi. Pada 1988, Yusuf menyambung pengajian peringkat tinggi, iaitu yang dikenali sebagai Yeshiva dan memulakan perjalanan hidup dengan mengikuti secara kultus atau mengamalkan ajaran yang selama ini dipelajari secara teori.
Pada 1991, Yusuf mengahwini seorang wanita berketurunan Yahudi, bernama Luna Mellul yang kemudiannya dikenali Qamar al-Khattab setelah memeluk Islam. Isterinya berasal dari sebuah bandar yang dikenali sebagai Tetouan di Maghribi dan mendapat pendidikan di sebuah sekolah Yahudi untuk kanak-kanak perempuan, Sampson Raphael Bet Yaakov atau Bais Yaakov setelah berpindah ke Manhattan Amerika Syarikat. Mereka dikurniakan Rachamin Cohen (selepas itu dikenali sebagai Abdel Rahman) setahun kemudian. Perkahwinan yang dibina pada masa itu, penuh bahagia tanpa sebarang konflik. Selepas kelahiran Rachamin, pasangan Yahudi ini menetap di sebuah komuniti Yahudi yang dikenali sebagai Satmar Hasidic di Williamsburg, Brooklyn Amerika Syarikat.
Ketika menetap di Amerika Syarikat, Yusuf mula mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila ajaran Yahudi tidak menjadi satu amalan agama yang baik malah penuh dengan pembohongan dan penipuan. Mereka menggunakan institusi seperti kuil Yahudi, dan institusi kewangan Yahudi, Bank Yeshiva untuk menggelapkan wang-wang sumbangan sehingga menjadikan kehidupan masyarakat Yahudi di situ agak teruk dan pengotor.
Faktor ini menyebabkan Yusuf al-Khattab merasa tidak sesuai menetap dengan komuniti di situ. Apa lagi untuk membesarkan anak-anak. Sehingga 1998, pasangan ini dikurniakan tiga anak lagi iaitu Hesibeh, Abdul Aziz dan Abdullah.
Yusuf tidak memahami ajaran sebenar agama itu kerana untuk memahami Judaism ia terpaksa melalui tiga cara atau peringkat termasuk peringkat yang tersembunyi. Peringkat-peringkat itu sebenarnya menjadi sebahagian daripada teka-teki yang mengelirukan bagi mereka yang mengamalkan atau kultus Rabbinical. Teka-teki Rabbinic kerana ada kalanya hanya perlu tunduk dan patuh kepada ketua agama yang dikenali sebagai rabbi (atau Elders of Zion) yang menentukan tahap-tahap tertentu untuk seseorang itu mempelajari agama Yahudi.
Rabbi inilah yang menterjemahkan agama Yahudi dengan cara mereka yang tersendiri. Tetapi apabila rabbi dapat mengesan Yusuf mula mempertikaikan ajaran Yahudi menyebabkan dirinya sentiasa diperhatikan. Kemana kita dia pergi dan dengan siapa dia berkawan, sehingga begitu sekali mereka mengawal penganut-penganutnya. Tidak cukup setakat itu, malah atas nasihat Rabbi, mereka meminta Yusuf sekeluarga supaya berpindah untuk menetap di Palestin dan menjadi sebahagian penduduk dalam kerajaan Israel. Ini kononnya agar pegangan Yusuf terhadap ajaran Yahudi semakin kukuh kerana hidup dalam lingkungan agama dan penganut yang lebih kuat pegangan mereka terhadap agama Yahudi. Pada September 1998, mereka sekeluarga menuju ke Tebing Barat Gaza dan menetap di sebuah penempatan Yahudi iaitu Gush Qatif di situ.
Walaupun diberi pelbagai kemudahan ketika di Tebing Barat Gaza. Tetapi peristiwa anaknya, Rachamin ditipu oleh gurunya menyebabkan Yusuf semakin tidak mempercayai agamanya sendiri. Rachamin ketika itu pulang dari sekolah dan sambil termengah-mengah kerana berlari beliau memberitahu bahawa guru yang mengajarnya di sekolah tidak menutup rambutnya dengan betul malah berpakaian menjolok mata. Anak beliau dan para pelajar yang lain tidak diajar mengenai Taurat, tetapi sebahagian besar masa dihabiskan dengan hanya bermain dan menyanyi. Peristiwa itu menyebabkan Yusuf tekad berpindah walaupun ketika itu beliau sendiri berada dalam kesempitan wang dan harta.
Mulai saat inilah beliau mengetahui keadaan sebenar agama Yahudi. Antara sentimen agama Yahudi sejak kecil anak-anak Yahudi yang hampir satu juta ramainya itu diajar supaya membenci dan menghina bangsa lain yang dianggap tidak layak mendiami bumi ini kecuali bangsa Yahudi.
Yusuf kemudiannya memilih menetap di Netivot, iaitu sebuah penempatan yang telah dirampas hak miliknya daripada rakyat Palestin pada 1948. Sebuah pertubuhan parti politik yang bercirikan agama, Shas kemudiannya membantu Yusuf memulakan kehidupan. Mereka diberi sebuah rumah dan anak-anak Yusuf dihantar ke sebuah sekolah persendirian sehingga anaknya berjaya menguasai bahasa Hebrew. Ketika menetap di situ Yusuf berkenalan dengan seorang Arab Islam yang berasal dari Arab Saudi dan selama dua tahun perkenalan itu, mereka sering menghabiskan masa bertukar-tukar pandangan mengenai agama masing-masing. Lelaki itu sering bertanyakan mengenai soal aqidah dalam agama Yahudi untuk dibandingkan dengan tauhid uluhiah sebagai sebahagian daripada kepercayaan kepada monotheism dalam Islam. Oleh kerana Yusuf tidak mampu menjawab dengan baik mengenai pertanyaan kawannya itu, beliau merujuk kepada rabbi-rabbi Yahudi bagi mendapatkan jawapan yang lebih pasti, tepat, jelas dan logik. Yusuf begitu terperanjat apabila diberi hampir 1,001 jawapan yang berbeza-beza dan mengelirukan. Malah Rabbi tidak dapat menunjukkan kepada beliau di mana perkataan atau nama tuhan (Yahweh) ada disebut dalam teks ajaran dan kitab Taurat.
Ini menyebabkan Yusuf semakin keliru terhadap pegangannya selama ini. Lalu ia menuju ke penempatan Arab Palestin bagi mendapatkan senaskhah al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Yusuf mengalami kejutan apabila mendapati kitab al-Quran itu mampu memberikan jawapan yang beliau cari selama ini. Malah al-Quran menjelaskan kedudukan dan siapa sebenarnya bangsa Yahudi, tetapi Allah masih mengasihi mengajak orang Yahudi kembali ke ajaran Islam, Yusuf yang begitu bersyukur memiliki al-Quran dan tidak sanggup melepaskannya. Beliau sanggup menghabiskan masa membaca keseluruhan al-Quran yang menyebabkan beliau tidak teragak-agak meninggalkan agama Yahudi. Beliau memeluk Islam kerana tidak mampu menolak sebuah ajaran yang di dalamnya penuh dengan kebenaran dan menjawab pelbagai persoalan terutama soal ketuhanan. Malah ia amat gembira kerana dua minggu selepas memeluk Islam, isterinya pula memeluk Islam. Setelah beliau juga mengkaji dan mendalami serba sedikit mengenai Islam terutama melalui al-Quran. Kemudian diikuti oleh anak-anak mereka.
Qamar begitu terkejut dengan tindakan suaminya memeluk Islam kerana telah menjadi sebahagian dari ajaran agama Yahudi supaya membenci agama lain terutama Islam. Tetapi Yusuf tidak memaksa jejak langkahnya memeluk Islam kerana dalam Islam dibenarkan seorang lelaki Islam mengahwini wanita dari golongan ahli kitab.
Menurut Qamar bahawa beliau juga ingin mengetahui apa yang Islam lakukan sehinggakan suami beliau sanggup memeluk agama itu dengan saya sendiri cuba mengkaji mengenai Islam. Hasilnya, Qamar bangga mengakui kebenaran Islam. Kini Yusuf sekeluarga menetap di Maghribi. Mereka gemar mendalami ajaran Islam dan bahasa Arab bagi mewujudkan keluarga Muslim yang sejati.
Walaupun berdarah Yahudi namun Islam membuatkan bangsa ini tiada bezanya seperti bangsa-bangsa yang lain kecuali iman dan takwa sahajalah yang menentukan kedudukan masing-masing di sisi Allah, tuhan yang satu, tuhan yang wajib disembah.
3. Maryam Jamelah
Margaret Marcos nama asal ketika dilahirkan, beliau dilahirkan pada tahun 1934 di Kota New York, dia merupakan generasi keempat bangsa Amerika berketurunan German-Yahudi. Dia dibesarkan di Kota Westchester, sebuah kawasan luar New York yang paling mewah dan padat penduduknya dan telah mendapat pendidikan di Amerika[8]. Seorang pelajar yang minat membaca dan membuat pengkajian terhadap penulisan-penulisan Islam terjemahan Inggeris untuk mendapatkan lebih banyak maklumat-maklumat apakah ertinya menjadi seorang Muslim, begitu juga kerana ingin mendapatkan pandangan terperinci mengenai peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku di dalam negeri-negeri Islam, iaitu penerangan-penerangan yang jauh lebih dari penerangan yang biasa di dapati dalam Akhbar-akhbar dan majalah. Tidak lama selepas itu beliau mengadakan hubungan surat dengan belasan anak muda di dunia Arab dan Pakistan. Kebanyakan sahabat pena yang dihubungi tidak kekal lama oleh kerana sikap mereka kebaratan dan kadang-kadang sikap perseteruan dan permusuhan dengan kebudayaan dan kepercayaan Islam.[9]
Pada akhirnya beliau mengambil keputusan untuk mengadakan hubungan surat dengan pemimpin Islam yang berkaliber dan berpengaruh terutamanya ulama. Di akhir tahun 1960 Maryam Jamelah telah bertukar-tukar surat dengan Fadhil Jamali, bekas Ketua Perwakilan Iraq di Bangsa-bangsa Bersatu, Mahmud F. Hoballah, Pengarah Pusat Islam di Washington D.C., dan beberapa tokoh gerakan Islam yang lain, oleh kerana kegiatan al-Maududi dan Jamaat al-Islam tidak mendapat publisiti dari sarjana dan wartawan Amerika. Sehingga beliau terbaca artikel yang cemerlang yang ditulis oleh al-Maududi di dalam majalah Muslim Digest keluaran Durban, dan timbul keinginan untuk berhubung surat dengan al-Maududi seorang tokoh yang luar biasa kebolehan itu.[10]
Minat utamanya yang utama adalah bidang agama, falsafah, sejarah, anthropologi, sosiologi dan biologi. Selepas itu memasuki Universiti New York dalam bidang pengkhususan kesenian umum. Semasa di Universiti dia telah di serang penyakit yang serius dalam tahun 1953. Dan penyakitnya itu telah bertambah berat hingga terpaksa menghentikan pengajiannya dua tahun kemudian tanpa memperolehi sebarang diploma. [11]
Maryam Jamelah menceritakan ketika dalam tahun dua di Universiti New York, beliau telah bertemu dengan seorang gadis yang juga berketurunan Yahudi. gadis itu membuat keputusan untuk memeluk Islam, Maryam menceritakan oleh kerana minatnya untuk mempelajari bahasa Arab, maka gadis Yahudi itu memperkenalkan kepada kawan-kawannya yang ramai terdiri dari orang Arab dan lain-lain bangsa di new York. [12]
Setelah mempelajari al-Quran lebih mendalam Maryam mula menyedari mengapa Islam dan hanya Islam sahaja telah menjadikan orang Arab satu bangsa yang agung. Tanpa al-Quran bahasa Arab mungkin telah pupus dan tanpa al-Quran umat Arab akan menjadi tidak penting seperti orang Zulu. seluruh kesusasteraan dan kebudayaan Arab adalah hidup dengan jasa al-Quran, kerana itu kebudayaan Arab dan Islam tidak dapat dipisahkan, tanpa Islam kebudayaan Arab tidak di pandang penting di mata dunia.[13]
Al-Quran ini diakui oleh tokoh-tokoh cendikiawan barat; seperti Edward Gibbon (1737-1794); seorang ahli sejarah inggeris yang masyhur, berkata bahawa al-Quran itu sebuah kitab agama, kitab kemajuan, kenegaraan, persaudaraan, kemahkamahan dan undang-undang tentera dalam agama Islam. Al-Quran mengandungi isi yang lengkap, mulai daripada urusan ibadat, ketauhidan, hingga kepada pekerjaan sehari-hari, mulai daripada urusan rohani hingga kepada hal yang mengenai jasmani, hingga kepada seksa dunia ini. Didalam al-Quran dijelaskan pembalasan amal. Sebab itu amat besar perbezaan al-Quran dengan Bible. Bible tidak mengandungi peraturan-peraturan yang berkaitan dengan keduniaan, yang terdapat didalamnya hanya cerita-cerita untuk kesucian diri. [14]
Dalam surat Maryam Jameelah kepada al-Maududi yang bertarikh 29 Mei 1961, Maryam Jameelah menyebut bahawa pada hari raya Adha itu selepas menunaikan sembahyang hari raya beliau dengan rasminya mengumunkan syahadah didepan dua saksi yang merupakan sahabat beliau seaqidah. Setelah beliau menerima surat akuan memeluk Islam dari Pertubuhan Dakwah Islamiah (the Islamic mission of America) Brooklyn, surat itu disampaikan oleh Daud Ahmad Faisal. Bermula dari saat itulah bermulanya nama baru beliau iaitu Maryam Jameelah.
Antara sebab beliau memeluk Islam apabila mengenali al-Quran melalui mendengar bacaan al-Quran surah Maryam melalui piring hitam, bacaan al-Quran oleh Ummu Kalthum salah seorang penyanyi terkenal pada masa itu, pada tahun 1961 beliau memeluk Islam.
4. Ibrahim Karlsson
Seorang pemuda berbangsa Sweden, Ibrahim mula berjinak dengan agama Islam bermula ketika di sekolah menengah tinggi, ketika itu Ibrahim banyak menghabiskan masa dengan membaca buku di perpustakaan, satu ketika beliau mengambil senaskah terjemahan al-Quran dan membaca beberapa surah al-Quran.[15] Beliau telah membeli al-Quran terjemahan yang ditulis oleh Yusuf Ali dan sebuah buku yang bertajuk Islam Our Faith. Ibrahim telah membaca keseluruhan al-Quran tetapi masih lagi tidak beriman sehinggalah beliau berkenalan dengan seorang wanita Amerika yang bernama Syahidah, melalui perkenalan dengan Syahidah itu beliau telah di bimbing memeluk Islam.[16]
5. Cat Stevens
Dia dilahirkan dalam keluarga Orthodok roman Katholik. Tetapi hatinya sering memberontak pada ajaran Bible dan amalan yang dilihatnya di gereja. Pada suatu hari pertegahan tahun 60-an, Cat Stevens sedang berenang di laut berhampiran rumah seorang kawan di Los Angeles, Amerika, ketika itu beliau berusia belasan tahun. Sedang menikmati ombak laut tiba-tiba arus yang kuat melanda dan menariknya ke tengah laut. Cat Stevens’ telah dihadiahkan oleh abangnya sebuah kitab suci al-Quran. Sejak itu Cat Stevens mula berubah cahaya yang dicarinya sudah bertemu. Hatinya mula tenteram. Dia masuk Islam di hadapan imam masjid London.[17]
6. Abdul Samad Sirait
Abdul Samad Sirait (bekas paderi) nama asalnya Frans Bona Sirait, ia dilahirkan pada 20 Oktober 1939 di sebuah kampong di Sumatera Utara, berasal dari keluarga besar Kristian. Ayahnya Marinus Sirait seorang pengurus gereja, datuknya G.Sirait juga adalah pengurus gereja peringkat seluruh Indonesia. Beliau menceritakan antara sebab Islamnya adalah pada tahun 1983 ketika menjalankan tugas missionari di bahagian Timur Indonesia, seperti biasa dengan menaiki kenderaan awam, iaitu keretapi bertolak kembali ke Jakarta melalui Denpasar Bali ketika sedang mengemas barang-barang bawaannya beliau mendapati ada sebuah tafsir al-Quran di atas begnya. Lalu setelah membuat pengumuman dalam gerabak keretapi yang dinaiki, namun tiada Sesiapa yang mengaku pemilik al-Quran tafsir tersebut, maka al-Quran itu dibawanya pulang ke rumah.[18]
Tafsir al-Quran yang dibawa itu menjadi objek perbincangan mereka sekeluarga. Pada suatu hari beliau mengajak anak dan isterinya bersama melihat isi al-Quran dan pertama sekali surah yang dibaca adalah surah al-Ikhlas yang bermaksud[19]:
“Katakanlah: Dialah Allah, yang Maha Esa.
Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya
Segala sesuatu.
Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan.
Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.”
Beliau ulangi membacanya beberapa kali. Lantas mereka sekeluarga mengambil kesimpulan bahawa buku ini ganjil. Kerana setahu kami, Jesus anak Allah yang tunggal. Sesuai dengan isi sembahyang dan syair lagu mereka dalam nyanyian rohani (pujian) mereka.[20]
Ketika lain mereka sekeluarga membaca Surah al-Imran ayat 85, yang bermaksud:
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
Abdul Samad menceritakan sesudah membaca surah tersebut dua tiga kali, mereka berkata kami semua tertawa geli hati. Kerana sudah dikatakan dalam perjanjian baru, dalam surat Paulus kepada Galatia, sebagai berikut:
“Tiada yang masuk ke Syurga, Kalau tidak melalui Tuhan Jesus, Kerana Jesus disalib untuk menebus dosa manusia.”[21]
Beliau telah membuat perbandingan antara Bible dengan tafsir al-Quran, beliau dapati percanggahan fakta yang berlaku di dalam Bible antara satu surah dengan surah yang lain.
Demikianlah al-Quran kitab petunjuk yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia, sebagai cahaya yang menerangi, yang mengeluarkan manusia dari kegelapan kekufuran kepada cahaya keamanan kepada Allah.
7. Nur Ain Tinungul Abdullah
Nur Ain Abdullah 35 tahun berasal dari Keningau Sabah, telah memeluk Islam pada 2 Februari 2000 di Pejabat Agama Islam Sabah, beliau minat awal terhadap Islam. Apabila beliau suka melihat cara hidup masyarakat Islam, tetapi lama-kelamaan beliau bertambah serius setelah membaca banyak buku Islam yang diberikan oleh seorang teman. Faktor lain adalah persahabatan dengan seorang anak guru agama, yang bernama Farhana, dan mengenali lebih dekat keluarga guru agama tersebut. Keinginan untuk memahami Islam mendorong beliau membaca tafsir al-Quran yang dipinjamkan oleh Farhana. Lebih menggembirakan Nur Ain apabila pada tahun lalu (2007) Ayahnya pula memeluk Islam dengan menggunakan nama Mohd Affendy Abdullah.[22]
berdasarkan cerita-cerita yang telah disebutkan jelaslah bahawa al-Quran itulah kitab suci al-Quran yang merupakan mukjizat dan kitab dakwah kepada dengan kitab Allah membuka hati manusia yang ingin mencari petunjuk mendapat kebenaran apa yang dicarikan.
8. Murad Hofmann (Roman Katolik, Pakar Undang-undang, Diplomat)
Murad Hofmann dilahirkan pada tahun 1931 dalam sebuah keluarga Roman Katolik. Beliau memperoleh ijazah pertamanya di Union College New York dan Murad Hofmannijazah PhD dalam bidang perundangan di Munich University pada tahun 1957. Pada tahun 1960 beliau memperoleh pula ijazah LL.M. dari Harvard Law School. Beliau dilantik menjadi Pengarah Penerangan bagi NATO di Brussels dari tahun 1983 hingga 1987. Pada tahun 1987 beliau dilantik menjadi Duta Jerman ke Algeria dan pada tahun 1990 pula menjadi Duta ke Morocco
Murad Hofmann memeluk Islam berdasarkan beberapa pengalaman dan pengamatan. Antara sebabnya ialah pengalaman beliau di Algeria di saat berlakunya pertembungan antara tentera Perancis dengan kumpulan gerila dari kumpulan Algerian National Front.yang menuntut kemerdekaan bagi Algeria. Beliau melihat penderitaan yang dialami umat Islam yang memperjuangkan kemerdekaan ini serta kesabaran yang mereka miliki. Beliau meyakini kesemuanya terhasil kesan dari ajaran Islam yang mulia. Bermula tarikh itu Murad mula mengkaji al-Quran tanpa henti.
Sebab kedua beliau memeluk Islam ialah kefahaman beliau yang mendalam tentang ajaran Kristian. Beliau mendapati terdapat perbezaan yang besar antara apa yang dipercayai oleh orang Kristian awam dengan apa yang diajar oleh profesor agama Kristian di universiti. Beliau tidak boleh menerima ajaran St. Paul yang amat berbeza dengan ajaran nabi Isa yang asal sedangkan, kata belilau, “St. Paul tidak pernah bertemu nabi Isa maka bagaimana dia berani mengubah ajaran nabi Isa?”
Di samping itu beliau juga tidak boleh menerima hakikat bahawa setiap orang dilahirkan dalam keadaan berdosa, seperti yang terkandung dalam konsep Original Sin dalam ajaran Kristian, dan nabi Isa perlu mati kerana dosa-dosa itu. Beliau berasa pelik tentang mengapa ‘Anak Tuhan’ perlu disalib dengan kejam untuk membersihkan manusia daripada dosa yang mereka sendiri lakukan.
Pada tahun 1980 beliau memeluk Islam. Beliau berkata, “Seorang Muslim hidup tanpa pemujaan kepada makhluk. Dia tidak menyembah Tuhan dengan perantaraan Jesus, Mary atau wali-wali tertentu, sebaliknya dia menyembah Tuhan secara langsung. Justeru seorang Muslim merupakan seorang yang merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.”[23]
jelaslah berdasrkan cerita-cerita yang telah disebutkan bahawa al-Quran tdak dapat dinafikan ianya daripada Allah dan ia dapat menerik manusia yang berada dalam kesesatan jahilaiah kepada agama yang suci dari sebarang penyelewengan dan tokok tambah yang dilakukan oleh manusia.
[1] Ibn al-Qayyim, Syamsudin Abu Abdullah, Muhamad bin Abu Bakar, Muasasah al-Risalah, Beirut, 1998, jld.3, hal. 600-605
[3] Mahayudin Yahaya, Sirah Nabi Muhammad (Zaman Makkah), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, hal. 123.
[6] Abdul Hadi Awang, Fiqh al-Harakah, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1989, hal.128-129.
[7] Bicara Agama, Utusan Malaysia 17 Ogos 2006.
[8] Maryam Jamelah, Islam mencabar, Bismi Publishers, Singapore, t.t. hal.1.
[11] Maryam Jamelah, Islam mencabar, Bismi Publishers, Singapore, t.t. hal.1.
[12] Maryam Jameelah, Surat-surat Maududi-Maryam Jameelah, Syarikat Dian Sdn. Bhd, Kota Bharu, 1979, hal. 18.
[14] Aboebakar Acheh, Sejarah al-Quran, Pustaka Antara, Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1997, hal.72.
[18] Abd Samad Sirait, Dakwah Muallaf, Penerbitan Kintan Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1994, hal. 15-20.
[19] ibid., 22.
[21] ibid., 24.
[23] http://www.islamreligion.com/articles/124/ (22-7-2008)