“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [Al-Baqarah 183]
Berkata al-Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya: Allah ta’ala memerintah kepada orang beriman melalui ayat ini, berpuasa iaitu menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh dengan niat ikhlas kepada Allah ta’ala, sebagaimana diwajibkan keatas umat lalu, mereka adalah uswah yang baik dalam melaksanakan perintah Allah ta’ala. Kerana dengan berpuasa membersihkan badan dan menyempitkan laluan syaitan, kerana itu Rasulullah mengarahkan golongan pemuda yang tidak mampu berkahwin agar berpuasa. [Tafsir Ibn Kathir: 1/ 289]
Berpuasa bulan Ramadhan sebagaimana sedia maklum ialah rukun Islam keempat. Dengan berpuasa dapat mengawal nafsu manusia agar patuh kepada Allah s.w.t., di samping kelebihan-kelebihan yang cukup banyak:
1. PUASA, MENGHAPUSKAN DOSA:
«من صام رمضان إيمانا واحتسابا غُفِرَ له ما تقدم من ذنبه» متفق عليه
Maksudnya: Dari Abu Hurairah Ra, Bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan balasan (dari Allah), nescaya diampunkan dosa yang telah lalu. [Muttafaq ‘alaihi]
Berkata Imam al-Suyuti (849H-911H) maksud beriman itu iaitu beriman tentang kewajipan puasa, dan ianya adalah salah satu dari rukun iman dan beriman dengan janji Allah dengan balasan pahala. Nescaya diampunkan dosa-dosa yang lalu iaitu dosa kecil. [Syarah al-Tirmizi: 3/410]
Maka dosa besar dihapuskan oleh Allah dengan bertaubat kepadanya; Sabda Rasulullah s.a.w:
«الصلوات الخمس، والجمعة إلى الجمعة، ورمضان إلى رمضان؛ مكفرات ما بينهن إذا اجتنبت الكبائر» رواه مسلم
Maksudnya: Sembahyang lima waktu, Jumaat sehingga Jumaat berikutnya, Ramadhan sehingga Ramadhan berikutnya; menghapuskan dosa kedua-duanya apabila dijauhi dosa-dosa besar. [Riwayat Muslim]
2. PERISAI DARI NERAKA DAN MENJAGA SYAHAWAT
عن ابي هريرة – رضي الله عنه - أن النبي قال: «......الصوم جنة» رواه البخاري
Dari Abu Hurairah r.a (meninggal 57H), Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud puasa itu perisai (dari kejahatan). [Riwayat Al-Bukhari]
Berkata Imam al-Nawawi (631-676H): Puasa perisai dari melakukan dosa atau dari api neraka kerana dengan berpuasa ia dapat menahan nafsu syahwat. [Fath Bari: 4/135]
«من صام يوما في سبيل الله؛ باعد الله وجهه من النار سبعين خريفا» متفق عليه
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan puasa pada jalan Allah, nescaya dijauhkan dari neraka 70 tahun. [Muttafaq ‘alaihi]
Semua kelebihan ini hanya diperolehi dengan berpuasa pada satu hari sahaja, bagaimana pula jikalau seseorang yang berpuasa sebulan Ramadhan, dan bagaimana pula orang yang berpuasa di bulan yang mulia ini setiap tahun?!
Puasa juga dapat menjaga diri seseorang dari gangguan syahwat, kerana itulah Rasulullah mengarahkan pemuda yang tidak berkemampuan berkahwin agar berpuasa.
يا معشر الشباب, من استطاع منكم الباءة, فليتزوج؛ فإنه أغض للبصر، وأحصن للفرج، ومن لم يستطع, فعليه بالصوم؛ فإنه له وجاء» متفق عليه
Wahai sekalian pemuda! Sesiapa dikalangan kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, berkahwinlah kerana ia dapat menundukkan pandangan mata, dan dapat menjaga kemaluan, dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin maka hendaklah berpuasa kerana dengan ia adalah perisai. [Muttafaq ‘alaihi]