TAMAN KIJANG LUNAS MOHON DIBINA SEBUAH SURAU
LUNAS - Kira-kira 200 keluarga yang tinggal di Taman Kijang, kira-kira tiga kilometer dari Pekan Lunas belum mempunyai surau sejak tiga tahun lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Bumiputera Taman Kijang, Noor Azlizam Ishak, pihak pemaju perumahan taman berkenaan iaitu Syarikat Tiwanis Sdn Bhd telahpun menyediakan tapak untuk dibina surau (Fasa 1) seluas 40 kaki X 30 kaki.
Beliau berkata, tapak cadangan membina surau di situ tidak sesuai kerana majoriti penduduk-penduduk di Fasa 1 itu terdiri daripada bukan Islam.
"Kami tidak ada surau di taman ini, segala aktiviti kemasyarakatan dan ibadat cuma digunakan di bawah khemah sahaja.
"Kami merayu pihak berkuasa dan pihak pemaju perumahan memindah cadangan pembinaan surau itu di atas tapak Fasa 2 Taman Kijang kerana majoriti penduduk-penduduk di Fasa 2 terdiri dari orang-orang Islam," kata Noor Azlizam.
Pandangan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Bumiputera Taman Kijang turut disokong oleh aktivis masyarakat di kawasan itu, Dr Abdullah Muda yang menjelaskan peruntukan diperlukan untuk pembinaan surau di atas tapak Fasa 2 seluas 20 kaki X 10 kaki ialah RM 50 ribu.
"Ada individu daripada Pulau Pinang yang perihatin telahpun menyumbang kayu dan simen untuk dibina surau di atas tapak cadangan baru itu.
"Pada September 2008, Ahli Parlimen Padang Serai, YB N. Gobalakrishnan telah pun meninjau tapak cadangan pembinaan surau di Fasa 2 dan beliau bersetuju dengan cadangan penduduk-penduduk Islam Taman Kijang ini.
"Kami rayu agar pihak pemaju, pejabat Menteri Besar dan PBT meluluskan dengan kadar segera cadangan pembinaan surau di atas tapak Fasa 2 demi kebaikan anak kariah di sini," katanya lagi.